BINTANG legenda Hollywood, Diane Keaton yang terkenal menerusi lakonannya dalam filem The Godfather dan Annie Hall, dilapor meninggal dunia pada usia 79 tahun.
Kematian Keaton disahkan penerbit dan rakannya, Dori Rath, kepada CBS News, iaitu rakan media BBC di Amerika Syarikat.
Dalam laporan lain, jurucakap keluarga Keaton memberitahu majalah People, bintang legenda tersohor itu menghembuskan nafas terakhir di California, semalam.
Dilahirkan di Los Angeles, mendiang Keaton mula mencipta nama pada era 1970-an menerusi watak Kay Adams-Corleone dalam filem francais The Godfather.
Keaton turut dikenali menerusi filem popular seperti Father of the Bride, First Wives Club dan Annie Hall, iaitu naskhah yang melayakkannya memenangi Anugerah Akademi (Oscar) bagi Pelakon Wanita Terbaik pada 1978.
Menerusi Annie Hall, Keaton turut meraih Anugerah Golden Globe bagi Pelakon Wanita Terbaik (Kategori Komedi atau Muzikal) serta Anugerah BAFTA untuk Pelakon Wanita Terbaik.
Sepanjang lebih lima dekad kerjayanya, Keaton membintangi puluhan filem termasuk The Family Stone, Because I Said So dan And So It Goes, selain beberapa filem arahan Woody Allen seperti Play It Again, Sam, Sleeper, Love and Death dan Manhattan, lapor BBC.
Mendiang Keaton membuat penampilan sulung di layar perak menerusi filem romantik komedi Lovers and Other Strangers pada 1970 manakala filem terakhirnya adalah Summer Camp (2024), berganding dengan Eugene Levy dan Kathy Bates.





