
ANGGARAN kos lebih daripada AS$1 trilion mungkin diperlukan bagi membangunkan semula Kota Gaza yang hampir musnah akibat serangan kejam berterusan rejim Israel sejak Oktober 2023, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, jumlah yang besar diperlukan bagi memulihkan semula kemudahan-kemudahan awam seperti masjid, sekolah, hospital dan rumah kediaman penduduk yang telah musnah.
“Ada yang anggarkan kos sebanyak AS$1 trilion,” kata beliau pada sidang media bersama media Malaysia yang membuat liputan lawatan beliau ke United Kingdom.
Anwar berkata, Jepun telah mengundang Malaysia untuk menjadi pengerusi bersama Persidangan mengenai Kerjasama antara Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD), memfokuskan pada pembangunan semula Gaza.
Pada Rabu diumumkan perjanjian gencatan senjata tiga fasa yang diusahakan Mesir, Amerika Syarikat dan Qatar, berkuat kuasa Ahad ini dan menyasarkan untuk menamatkan konflik 15 bulan di Gaza.
Pada Khamis, Anwar berkata, walaupun pembinaan semula menjadi keutamaan, kehilangan nyawa lebih 46,700 rakyat Palestin dan lebih dua juta orang kehilangan tempat tinggal perlu turut diakui dan tidak boleh dilupakan.
Anwar dalam rangka kerja lawatan ke United Kingdom dari 15 hingga 19 Jan dan selepas itu akan meneruskan lawatan kerja dua hari ke Belgium.








