CALON Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir tiba di Pusat Penamaan Calon di Dewan Merdeka, di sini, ditemani pimpinan tertinggi parti membentuk Kerajaan MADANI.
Beliau yang tiba pada jam 9.15 pagi diapit Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi: Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Turut hadir, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang; Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof; Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming dan Bendahari DAP negeri, Lee Chuan How.
Lokasi penyokong Barisan Nasional (BN) berhimpun kira-kira 500 meter dari Dewan Merdeka, yang menjadi pusat penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning pagi ini, meriah seperti sebuah ‘pesta’.
Ia yang dihadiri lebih daripada 1,000 orang menjadi hentian atau ‘pit stop’ buat penyokong BN termasuk beberapa penyokong Pakatan Harapan (PH) sebelum berarak ke pusat berkenaan.
Selain didendangkan ceramah oleh pemimpin tertinggi BN, terdapat sekumpulan anak muda berbaju parti berkenaan bersorak dan menyanyikan lagu sebagai motivasi buat calon termasuk penyokong yang hadir.

Terdapat juga peniaga yang mengambil kesempatan menjual makanan, minuman termasuk ‘cenderahati’ seperti baju dan bermacam lagi.
Di sebelah penyokong Perikatan Nasional (PN) yang diwakili Abdul Muhaimin Malek pula kelihatan sunyi dan dihadiri lebih 500 orang manakala Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS yang mewakili parti itu tiba di Pusat Penamaan Calon kira-kira jam 9.20 pagi

Difahamkan ketiga-tiga penyokong hadir seawal jam 6.30 lagi lagi untuk berarak menyokong calon parti masing-masing.
Setakat semalam, SPR memaklumkan tujuh borang pencalonan sudah dijual, namun sehingga jam 9.50 pagi hanya tiga calon menyerahkan borang pencalonan.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, pada 25 Feb lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 26 April, sementara pengundian awal pada 22 April.
Ini adalah PRK ke-11 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) iaitu PRK Parlimen Kuala Terengganu, Terengganu; PRK DUN Simpang Jeram, Johor; PRK Parlimen Pulai, Johor; PRK DUN Pelangai, Pahang; PRK DUN Jepak, Sarawak; PRK Parlimen Kemaman, Terengganu; PRK DUN Kuala Kubu Baharu; PRK Sungai Bakap; PRK DUN Nenggiri dan DUN Mahkota, Johor.





