
TAWAU – Lawatan ASEAN Chamber of Commerce and Industry (ACCI) Sabah Chapter ke Kazakhstan dilihat membuka potensi besar kerjasama dua hala antara Sabah dan negara Asia Tengah itu dalam pelbagai sektor termasuk pelaburan, pelancongan dan pendidikan.
Yang Dipertua ACCI Sabah Chapter, Datuk Nordin Ening berkata, dari aspek pelancongan, Kazakhstan kini melihat Asia Tenggara khususnya Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan rakyatnya berikutan ketidakstabilan situasi di Eropah Timur dan Timur Tengah.
“Penerbangan terus Almaty–Kuala Lumpur (4 kali seminggu) menjadi pemangkin, dan AirAsia kini dalam rundingan menambah satu lagi penerbangan mingguan, menjadikannya lima kali seminggu pada bulan ini.
“Kerajaan Kazakhstan juga menyuarakan minat membawa lebih ramai pelancong ke Sabah, khususnya ke Kota Kinabalu dan Semporna memandangkan sebelum ini pelancong mereka ramai ke Pulau Langkawi sahaja.
“Namun, promosi secara agresif perlu dilakukan bagi menarik pasaran ini dan sebagai balasan, mereka juga menawarkan pengalaman unik di Kazakhstan seperti jet ski musim salji bermula bulan Oktober, kereta kabel dan aktiviti pelancongan musim sejuk,” katanya dalam kenyataan media, pada Khamis.
Nordin berkata, dalam sektor industri dan pelaburan, beberapa projek utama dibuka kepada pelabur asing termasuk dari Malaysia.
Antaranya, kilang pembuatan tali sawat oleh Kumpulan Aytei, pemprosesan sisa mineral teknogenik yang mengandungi logam bernilai tinggi serta projek lapangan minyak Tortai di wilayah Atyrau serta komited ke arah penggunaan kenderaan elektrik (EV) secara meluas dengan pembinaan kilang EV oleh Proton kelak.
“Menerusi pendidikan, Kazakhstan turut menyatakan minat untuk membangunkan perbankan Islam dan teknologi kewangan (fintech) dan terbuka untuk kerjasama pertukaran pelajar dan program pendidikan yang lebih memfokuskan kepada Bahasa Inggeris memandangkan Bahasa Rusia kini semakin berkurangan digunakan.
“Rakyat Kazakhstan kini memilih Malaysia sebagai destinasi utama rawatan perubatan yang berkualiti dan berpatutan.
“Ini membuka ruang besar untuk pelancongan kesihatan di Sabah, khususnya hospital swasta dan pusat pemulihan,” tambahnya.
Sehubungan itu, Nordin menyeru semua agensi dan pemain industri di Sabah, termasuk Matrade, MITI, Tourism Sabah, MIDA serta sektor swasta akan berganding bahu menyambut potensi ini dengan serius dan berstrategi.
“ACCI Sabah berperanan sebagai penghubung dan peneroka peluang untuk membawa pelabur dan pemain industri dari Malaysia khasnya Sabah ke Kazakhstan.
“Kami akan menyusun susulan lawatan ini untuk mempermudah kehadiran pelabur dan pelancong Kazakhstan ke Semporna dan Kota Kinabalu, juga sebaliknya,” ujarnya.
Terdahulu, lawatan kerja tiga hari Nordin atas jemputan Dewan Usahawan Kota Almaty (Atameken) itu turut disertai pertemuan rasmi bersama wakil kerajaan Kazakhstan, Tourism Malaysia di Kazakhstan dan Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia.