
TANGKAK – Dalam usaha membantu pelajar berkeperluan khas memperoleh ilmu mendalam berkaitan refleksologi, sebuah spa menawarkan perkhidmatan berkaitan diwujudkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud Iskandar, di sini.
Tenaga pengajar yang juga pelopor Iskandarian’s Spa, Noordina Jahari berkata, idea untuk mewujudkan pusat kecantikan itu tercetus selepas beliau nekad untuk memberikan pengalaman sebenar kepada pelajar tersebut.
Katanya, dia mahu pelajar yang mengikuti asas kemahiran itu dapat berdikari dan meraih pendapatan sendiri sebaik tamat persekolahan kelak.
“Seramai 32 pelajar terdiri daripada pelbagai peringkat kemahiran sedang mengikuti kursus yang disediakan di spa ini. Kami menawarkan perkhidmatan urutan dan jualan produk kesihatan semulajadi dihasilkan sendiri oleh pelajar di sini.
“Latihan yang diberikan berdasarkan spesifikasi ditetapkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) kerana mereka bukan sekadar mengikuti kaedah pembelajaran secara semborono, namun ada garis panduan tersendiri.
“Kami nak pastikan pelajar ini memperoleh SKM masing-masing selepas habis persekolahan. Daripada situ, pelajar boleh memohon pekerjaan di mana-mana pusat kecantikan yang mereka ingini di luar sana.
“Jadi, disebabkan itulah saya terpanggil untuk mewujudkan sebuah spa di sekolah ini yang turut dibuka kepada orang ramai bagi memberikan semangat dan pengalaman kepada pelajar merasai situasi sebenar apabila berada dalam bidang pekerjaan itu kelak,” katanya ketika ditemui.
Terdahulu, isteri Pemangku Sultan Johor, Che’ Puan Mahkota Khaleeda Bustamam mencemar duli merasmikan Bengkel Iskandarian’s Spa dan Refleksologi Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Tengku Mahmud Iskandar, di sini, hari ini.
Turut mengiringi keberangkatan baginda adalah isteri Menteri Besar Johor, Datin Sharmin Fazlina Mohd Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri, Aznan Tamin dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail.
Selain perkhidmatan berkaitan refleksologi, bengkel tersebut turut menerapkan beberapa latihan lain antaranya seni lukis batik, penghasilan lilin wangi, penghasilan minyak urut yang mana kesemua produk itu dijual kepada orang ramai.





