
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengumumkan hasil siasatan jawatankuasa bebas menyiasat kematian pakar perubatan patologi di Hospital Lahad Datu, Sabah, bulan depan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM menetapkan tempoh selama tiga bulan, namun jika hasil siasatan dapat diberikan dalam tempoh terdekat, pihaknya tidak akan menunggu sehingga Januari.
“Kalau dapat lebih awal, kita akan mengadakan sidang media untuk memberikan butiran hasil siasatan memandangkan jawatankuasa bebas ini bukan di bawah KKM, jadi kita tidak boleh mendesak untuk menyegerakan siasatan.
“Bagaimanapun, KKM akan telus dan tiada sebarang perkara akan disembunyikan,” katanya selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa 2024, di Kuala Lumpur, hari ini.
Pada 29 Ogos lalu, seorang doktor ditemui mati di kediamannya di Lahad Datu, Sabah yang didakwa disebabkan tindakan bunuh diri, berikutan tidak tahan dibuli oleh ketua jabatannya.
Perkara itu didedahkan adik mangsa, yang dikenali sebagai YS Tay yang mendakwa kakaknya, Dr Tay Tien Yaa, ditindas pegawai atasannya, selain menghadapi tekanan sepanjang bertugas di unitnya akibat beban kerja melampau.





