
TAWAU – Warga emas antara lapan individu yang dicekup polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan judi sabung ayam di kawasan Kampung Pasir Putih, di sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kesemua suspek yang ditahan masing-masing empat warga tempatan dan warga asing berumur antara 29 hingga 72 tahun.
“Bertindak atas maklumat awam yang bimbang dengan peningkatan aktiviti judi sabung ayam di kawasan kampung berkenaan, suspek berjaya diberkas sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Tawau pada pukul 5 petang.
“Polis turut merampas empat ekor ayam sabung yang digunakan dalam pertandingan haram tersebut dan menemui dua ekor ayam telah mati akibat dari pertaruhan itu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Kesemua suspek kini direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 kerana penganiayaan terhadap haiwan.
Tegas Jasmin, pihaknya giat membanteras sebarang aktiviti haram yang merosakkan keharmonian masyarakat bagi memastikan Tawau bebas daripada kegiatan judi dan penganiayaan ke atas haiwan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan mana-mana aktiviti yang menyalahi undang-undang di negara ini boleh menyalurkan maklumat itu menerusi talian hotline Polis Daerah Tawau iaitu 089-772121 atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP),” katanya.





