
KANGAR – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis mempertingkat langkah pencegahan kesihatan di semua sekolah selepas beberapa kes jangkitan Influenza A dikesan di negeri itu sejak awal Oktober.
Pengarah Pendidikan Negeri, Rose Aza Che Arifin berkata, pemantauan rapi dilaksanakan dengan kerjasama rapat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan tahap kesihatan murid dan guru sentiasa berada dalam keadaan terkawal.
“Tiada sekolah yang ditutup setakat ini dan semua institusi pendidikan beroperasi seperti biasa. Langkah pencegahan awal telah diaktifkan di setiap sekolah bagi mengekang risiko penularan jangkitan.
“JPN menerima laporan daripada lima sekolah yang mencatatkan kes Influenza A, membabitkan satu sekolah menengah dan empat sekolah rendah di seluruh Perlis dengan 18 pelajar terlibat sejak 1 Oktober hingga semalam,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, kes berkenaan dikesan melalui laporan pihak sekolah berdasarkan makluman ibu bapa dan KKM sebelum disahkan oleh JPN untuk penilaian lanjut.
Rose Aza berkata, pihaknya juga mengeluarkan surat pemakluman rasmi kepada semua pentadbir sekolah sebagai peringatan untuk memperkukuh tatacara kebersihan serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga sekolah.
“Statistik yang dikumpulkan mungkin berbeza daripada data rasmi KKM kerana ia dilapor secara terus oleh sekolah mengikut situasi semasa,” jelasnya.
Beliau menasihatkan warga sekolah supaya mengamalkan langkah berjaga-jaga seperti memakai pelitup muka, mencuci tangan dan menggunakan cecair pembasmi kuman setiap kali berada di kawasan tumpuan.
“Kerjasama antara warga sekolah dan ibu bapa amat penting dalam memastikan wabak ini tidak merebak ke peringkat yang lebih serius,” ujarnya.
Tambahnya, JPN Perlis akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa selain menyalurkan maklumat terkini kepada masyarakat bagi memastikan tahap kesiapsiagaan sekolah kekal tinggi.