PEMANDU pacuan empat roda Nissan Navara yang tular kerana merempuh motosikal pasangan suami isteri di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Duta menerima habuan apabila dihukum dipenjara 30 hari dan didenda RM12,000.
Hukuman itu dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu.
Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh K Darmaraju, 32, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang didakwa ke atasnya, lapor Kosmo!.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 11 Mei lalu.
Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda tersebut dia boleh dipenjara 12 bulan lagi.
Difahamkan tertuduh membayar jumlah denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Darmaraju didapati memandu kenderaan jenis Nissan Navara dengan cara melulu.
Kesalahan itu dilakukan di lebuh raya menghala ke pusat bandar sebelum Plaza Tol Jalan Duta di sini pukul 2.30 petang pada 10 Mei lalu.
Sebelum ini, media melaporkan sepasang suami isteri parah selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Plus berhampiran Plaza Tol Duta.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa lelaki berusia 53 tahun mengalami retak tulang selangka dan luka pada buku lali.
Isterinya berusia 49 tahun yang juga pembonceng motosikal cedera parah termasuk pendarahan di kepala, patah tulang rusuk dan buku lali.
Terdahulu, video kemalangan itu tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial.




