ARAU – Dalam tempoh tidak sampai satu minggu, satu lagi aktiviti penyelewengan petrol bersubsidi berjaya dipatahkan KPDN Perlis di sebuah stesen minyak di sini semalam.
Operasi bersepadu yang dikenali sebagai Ops Tiris 3.0 itu dijalankan hasil perkongsian maklumat risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KPDN di Kubang Gajah di sini kira-kira pukul 5 petang semalam.
Menurut sumber, pihak berkuasa berjaya menahan sebuah Proton Iswara Aeroback di pam nombor tujuh selepas menerima maklumat daripada Cawangan Khas PDRM dan pegawai risik KPDN yang mengekori kenderaan tersebut.
“Hasil pemeriksaan menemui 344 liter cecair yang disyaki minyak petrol dalam tangki tambahan ubah suai dan tong ‘jerrycan’ dalam kereta suspek.
“Dua suspek, lelaki tempatan berusia 31 dan 32 tahun, gagal menunjukkan permit khas bagi memiliki petrol dalam kuantiti tersebut,” kata sumber tersebut.
Turut dirampas dalam operasi itu ialah sebuah Proton Iswara Aeroback, dua unit tangki tambahan ubah suai, lima tong ‘jerrycan’ 20 liter, dan satu tong ‘jerrycan’ 10 liter.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM5,560, termasuk RM705.20 bagi minyak petrol yang dirampas.
Operasi ini adalah sebahagian usaha KPDN untuk membanteras kegiatan penyelewengan barangan kawalan yang semakin berleluasa di kawasan ini.
Pengarah Pejabat KPDN negeri, Hasbullah Abd. Rashid mengesahkan tangkapan tersebut.




