
SANDAKAN – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited memperluaskan perkhidmatan agensi-agensi keusahawanan ke daerah-daerah luar bandar di Sabah, khususnya kawasan yang sebelum ini tidak mempunyai cawangan atau akses kepada perkhidmatan tersebut.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, antara inisiatif terbaharu ialah pembukaan tiga pejabat baharu TEKUN Nasional serta peluasan kemudahan perbankan Bank Rakyat ke pekan-pekan kecil melalui perkhidmatan bank bergerak dan pemasangan mesin ATM.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada fokus tambahan KUSKOP dalam memastikan liputan perkhidmatan keusahawanan yang lebih menyeluruh di seluruh Sabah.
“Tahun lalu sahaja, lebih RM813 juta telah disalurkan kepada lebih 53,000 usahawan dan koperasi di Sabah. Saya berharap nilai ini dapat ditingkatkan lagi tahun ini, melalui pembiayaan dan geran yang disediakan,” katanya ketika ditemui media sempena Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri UPKO Malaysia di Rainforest Hall, Rainforest Discovery Centre (RDC), di sini pada Sabtu.

Jelas beliau, usaha turun padang dan pertemuan bersama agensi-agensi di bawah kementeriannya adalah penting bagi memastikan semua perancangan pembangunan usahawan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, khususnya di daerah seperti Batu Sapi, Libaran, Kinabatangan dan Beluran.
Tambahnya lagi, pelbagai agensi di bawah KUSKOP seperti Bank Rakyat, SME Bank, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SME Corp, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan UDA Holdings turut digerakkan bagi menyokong pembangunan usahawan secara menyeluruh di negeri ini.
“Di bawah fokus tambahan Sabah dan Sarawak, kita turut memperkenalkan skim dan program khas seperti Projek Premis Tamu Desa, Skim Geran Usahawan Bumiputera Sabah Sarawak, Skim Pembayaran Usahawan Tamu, Skim Latihan Keusahawanan serta Program Ihsan KUSKOP,” katanya.
Dalam pada itu, Ewon turut menegaskan komitmen UPKO dalam meraikan kepelbagaian budaya dan agama rakyat Malaysia melalui penganjuran sambutan pelbagai perayaan seperti Aidilfitri, Pesta Kaamatan, Tahun Baru Cina, Krismas dan Hari Orang Asal oleh bahagian-bahagian UPKO di seluruh negeri.
“Kita mahu ahli-ahli UPKO dan rakyat Sabah menjadi contoh perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia. Sabah perlu kekal menjadi teladan dalam menghormati kesatuan dalam kepelbagaian,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan UPKO, Dr Peter Jr Naintin, berkata rakyat Libaran memberikan sokongan positif kepada perubahan yang dibawa parti, terutamanya dalam kalangan Bumiputera Muslim.
“Kami turun ke akar umbi, mendengar dan menawarkan penyelesaian kepada permasalahan rakyat. Kekuatan parti terletak pada kesatuan dan kerjasama, bukan bergerak sendirian tetapi sebagai satu pasukan,” katanya.
Tambahnya, perjuangan UPKO bukan sekadar demi kemenangan parti, tetapi lebih penting untuk menjamin kesejahteraan rakyat Libaran.







