
KUBUR Zara Qairina Mahathir akan digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar Tingkatan 1 itu.
Arahan itu dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) menerusi kenyataan menegaskan, langkah itu bertujuan memastikan polis memperoleh maklumat dan bukti tambahan diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung kes kematian Zara Qairina.
Menurutnya, penelitian laporan siasatan awal mendapati ada keperluan untuk siasatan lanjut diambil polis demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.
“Sehubungan itu, laporan penuh siasatan awal telah dikembalikan semula kepada polis bersama beberapa arahan termasuk keperluan untuk menggali semula mayat Zara Qairina bagi membolehkan prosedur bedah siasat (post-mortem) dijalankan ke atas jenazah,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Sebelum ini, ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat mengarahkan peguam mereka menguruskan proses bagi membolehkan kubur anaknya digali semula untuk melakukan bedah siasat terhadap jenazahnya.
Noraidah mendakwa pengebumian jenazah anaknya pada malam 17 Julai lalu dilakukan tanpa proses bedah siasat kerana tiada pihak mencadangkan kepadanya untuk berbuat demikian.
Luahan itu disuarakan Noraidah selepas kematian Zara Qairina yang dikatakan terjatuh dari tingkat tiga asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar dan dikaitkan dengan kes buli pada 16 Jul lalu.
Zara Qairina didapati meninggal dunia pada esoknya, 17 Julai.




