PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak terkesan dengan sebarang kritikan terhadap peranan negara sebagai pengantara dalam usaha meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja.
Beliau berkata, pihak yang mempertikaikan peranan Malaysia dalam isu berkenaan tidak memahami fakta sebenar berhubung langkah dan pendekatan yang telah diambil oleh kerajaan.
Menurutnya, dakwaan bahawa Malaysia bersikap berat sebelah dalam konflik antara Thailand dan Kemboja hanyalah persepsi kecil yang tidak berasas.
“Saya memantau perkara itu dengan sangat teliti. Mereka tidak mengetahui banyak fakta atau maklumat dan saya secara konsisten mengambil pendekatan yang sangat berhati-hati lagi berwaspada dengan membincangkannya bersama Perdana Menteri Thailand, Anutin (Charnvirakul) dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.
“Panglima Angkatan Tentera kita juga sudah menghubungi kedua-dua pihak, begitu juga dengan menteri luar kita,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.
Anwar berkata, peranan Malaysia adalah untuk membantu memudah cara bagi mencapai gencatan senjata serta memastikan permusuhan antara kedua-dua negara berkenaan dapat dihentikan.
“Keputusan itu sepenuhnya terpulang kepada pihak Thailand dan Kemboja. Kami tidak membuat keputusan. Kritikan (terhadap Malaysia) itu berasaskan kejahilan dan prasangka semata-mata.
“Sebarang keputusan, termasuk mesyuarat sempadan yang diselaraskan oleh menteri-menteri luar, adalah selaras dengan Perjanjian Damai Kuala Lumpur dan dibuat dengan penyertaan serta persetujuan penuh kedua-dua negara,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia mengalu-alukan gencatan senjata yang dicapai antara Thailand dan Kemboja hasil rundingan yang diadakan di China.
“Peralihan pantas kepada perbincangan susulan yang tersusun mencerminkan keazaman untuk mengelakkan konflik berulang dan menstabilkan keadaan,” katanya.
Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap peranan China, khususnya usaha Menteri Luar China, Wang Yi, yang menganjurkan perbincangan sehingga membolehkan Thailand dan Kemboja mengadakan pertemuan.
“Kedua-dua pihak dapat menumpukan kepada langkah praktikal untuk mengurangkan risiko dan membina semula kepercayaan.
“Saya juga ingin mengiktiraf peranan penting Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang membantu memeterai Perjanjian Damai Kuala Lumpur dan menjadi asas kepada menghentikan konfrontasi.
“Ia menyumbang kepada pembentukan ruang politik yang membolehkan pihak berkenaan berundur daripada konfrontasi dan beriltizam untuk menahan diri,” katanya.




