
TAWAU – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang menilai semula keberkesanan Kolej Komuniti di seluruh negara agar kursus-kursus ditawarkan terus relevan dengan keperluan serta kehendak industri.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ia juga bagi memastikan Kolej Komuniti berperanan lebih efektif dalam memenuhi keperluan setempat serta memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan komuniti.
“Kajian semula ini supaya Kolej Komuniti yang benar-benar aktif itu akan kita berikan lagi bantuan, rangsangan bagaimana mereka nak mengembangkan lagi aspek-aspek mereka.
“Ada pula yang kita lihat Kolej Komuniti yang tidak aktif, Kerajaan sedang melihat semula sama ada perlu atau tidak Kolej Komuniti di kawasan yang berkenaan diteruskan ataupun ditinjau balik dari segi program-program yang ditawarkan.
“Ini kerana ada kawasan-kawasan itu menawarkan program-program yang tidak sesuai sebenarnya yang tidak mendapat tarikan daripada masyarakat ataupun pelajar-pelajar di kawasan yang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Penyampaian Watikah Pelantikan Sembilan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti (JPeNKK) Sabah di Royale Borneo Hotel, di sini, pada Jumaat.
Menurut Zambry, penilaian semula itu turut menpertimbangkan kursus berkaitan dengan bidang baharu termasuk Kecerdasan Buatan (AI) serta terus memperkasa kursus TVET.
“Kita juga bersedia untuk menyediakan kursus-kursus yang berkaitan dengan AI.
“Jadi Kolej Komuniti tidak hanya menjadi kolej komuniti yang agak kaku dari segi kandungan kursusnya, ia juga akan terbuka dari semasa ke semasa untuk menyediakan peluang-peluang yang terbaik.
“Ini agar penuntut Kolej Komuniti apabila mereka dapat keluar nanti dan bidang-bidang pekerjaan itu yang diperlukan di peringkat pasaran,” katanya.
Menurut Zambry, pihaknya juga memperhalusi mewujudkan tempat tinggal bagi penuntut Kolej Komuniti khususnya di Sabah dan Sarawak.
“Umumnya kita mengetahui bahawa kita hanya mewujudkan Kolej Komuniti itu tanpa ada keperluan tempat tinggal.
“Tapi ada kawasan-kawasan tertentu yang memerlukan untuk kita wujudkan tempat-tempat tinggal bagi penuntut-penuntut yang berada di Kolej-kolej Komuniti yang berkenaan,” ujarnya.



