
WANG RM10,000 hukuman Papagomo yang diterima Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain telah disumbangkan kepada Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP).
Wang itu diserahkan kepada Pengarah Pengurusan, Datuk Abdul Aziz Abdul Majid selaku Ahli Tetap TAWP di pejabatnya, Bukit Aman, hari ini.
Memetik Harian Metro, menyedari kepentingan kebajikan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), Razarudin mengambil inisiatif dengan menyumbangkan jumlah itu sepenuhnya kepada TAWP bagi membantu kebajikan pegawai, anggota dan anak-anak polis.
“Alhamdulilah, dana berjumlah RM10,000 telah saya sumbangkan kepada TAWP bagi membantu kebajikan pegawai, anggota dan anak-anak polis.
“Saya harapkan dengan sumbangan itu dapat memberi manfaat kepada anak-anak warga PDRM yang cemerlang dalam akademik, menghadapi masalah kesihatan dan mereka yang memerlukan bantuan kewangan untuk meringankan beban yang ditanggung,” katanya.
Sumbangan itu adalah dana yang diperoleh daripada perintah mahkamah terhadap defendan, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo yang diperintahkan membayar kos guaman dan prosiding mahkamah kepada plaintif (Razarudin) selepas mahkamah mengeluarkan injunksi interlokutori dalam kes saman fitnah pada 10 Januari lalu.








