KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan tidak akan sesekali melindungi sesiapa yang terlibat dalam kes buli di sekolah dan tindakan tegas diambil mengikut garis panduan sedia ada.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pihaknya menolak dakwaan kononnya kementerian itu melindungi pihak yang melakukan perbuatan tidak bermoral itu.
Menurut beliau, pendirian itu turut terpakai kepada semua kes termasuk insiden kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, Sabah yang meninggal dunia pada 17 Julai lalu.
“Saya nak maklumkan mengenai semua kes di sekolah sama ada berkaitan disiplin atau buli. Pihak KPM ada garis panduan yang berkuat kuasa dari semasa ke semasa.
“Dalam kes Zara, sekarang ini sebagaimana kita tahu, isu ini dalam siasatan pihak polis. KPM akan serahkan kepada polis untuk buat siasatan.
“KPM tegaskan kita tidak berkompromi terhadap mana-mana isu berkaitan buli dan kedua, kita takkan dan tak pernah cuba melindungi sesiapa seperti dinyatakan (melalui maklumat tular di media sosial), pada semua peringkat,” katanya dalam sesi soal jawab lisan pada sidang Dewan Rakyat, pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen (Warisan) Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan kes buli di sekolah, khususnya kes Allahyarham Zara, susulan pelbagai spekulasi timbul sedangkan kematian remaja itu sudah dilaporkan hampir sebulan lalu.
Kah Woh memberi jaminan, KPM sedia bekerjasama dengan pihak polis khususnya dalam memberi bantuan bagi siasatan yang sedang dijalankan.
“Dalam kes Zara, sekarang ini sebagaimana kita tahu, isu ini dalam siasatan pihak polis. KPM akan serahkan kepada polis untuk buat siasatan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, Sabah, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga.
Pelajar itu ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama jam 4 pagi pada 16 Julai lalu.
Zara Qairina kemudian disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.
Kelmarin, penggalian semula kubur Zara mengambil masa lebih satu jam sebelum selesai pada jam 7.31 malam selepas dimulakan pada jam 6.04 petang.






