KPM tegas tangani penglibatan guru dalam aktiviti tidak bermoral – Fadhlina

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana guru atau warga pendidik yang didapati terbabit dalam kegiatan tidak bermoral, termasuk penyertaan dalam program yang bertentangan dengan etika profesion keguruan seperti program eHATI.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah tegas itu perlu bagi memastikan ajaran atau dakyah songsang yang diperoleh daripada program sedemikian tidak dibawa masuk ke dalam institusi pendidikan, sekali gus mengelakkan kerosakan terhadap ekosistem pendidikan serta krisis kepercayaan masyarakat terhadap sekolah.

Fadhlina berkata, KPM akan melaksanakan pemantauan rapi dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), pihak sekolah dan agensi berkaitan termasuk badan agama, bagi memastikan tiada penyalahgunaan kedudukan oleh guru untuk terlibat dalam kegiatan yang bercanggah dengan nilai dan etika pendidikan negara.

Menurut beliau, pemantauan tersebut turut meliputi penilaian terhadap penglibatan guru dalam program luar yang tidak diiktiraf, khususnya yang mengandungi unsur yang bercanggah dengan ajaran agama, nilai kemanusiaan serta prinsip profesionalisme keguruan.

“Kami percaya guru di negara ini adalah individu berintegriti dan berdedikasi, namun jika ada yang menyimpang, KPM tidak teragak-agak mengambil tindakan tatatertib termasuk penggantungan tugas atau pemecatan.

“Setakat ini, KPM belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung guru terbabit program tidak bermoral itu, tetapi jika ada, kita akan menyiasat dakwaan berkenaan secara serius,” katanya kepada BH pada Khamis.

Tambah beliau lagi, setakat ini KPM belum menerima aduan rasmi berkaitan penglibatan guru dalam program tidak bermoral seperti eHATI, namun sebarang dakwaan yang diterima akan disiasat secara serius.

“Langkah itu perlu kerana profesion perguruan satu amanah besar yang membabitkan pembentukan sahsiah dan nilai dalam kalangan murid. Jadi, kita tidak mahu guru atau warga pendidik terbabit program bertentangan nilai moral dan prinsip pendidikan negara,” katanya.

Fadhlina turut menggesa agar sebarang maklumat berhubung perkara tersebut disalurkan melalui saluran rasmi kementerian untuk tindakan lanjut.

Mengikut peruntukan sedia ada, guru yang terbabit dalam kegiatan tidak bermoral boleh dikenakan tindakan tatatertib berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993], termasuk amaran bertulis, teguran, pemotongan gaji, penangguhan kenaikan gaji, penurunan pangkat atau pemecatan.

Dalam hal ini, guru juga boleh digantung tugas sementara bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan lancar tanpa mengganggu suasana persekolahan. Sekiranya kes berkenaan melibatkan unsur jenayah atau pelanggaran terhadap ajaran agama, siasatan lanjut boleh dijalankan oleh pihak polis dan jabatan agama.

Program motivasi eHATI yang mencetuskan kontroversi didakwa menyasarkan wanita berkerjaya termasuk guru yang mengalami krisis rumah tangga, serta dikatakan mengandungi unsur yang boleh menjejaskan maruah dan integriti profesion perguruan, di samping bertentangan dengan ajaran Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar sebelum ini memaklumkan bahawa siasatan terhadap penganjur program berkenaan sedang dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Mengulas lanjut, Fadhlina turut mengingatkan semua institusi pendidikan di bawah seliaan KPM supaya menilai dengan teliti sebarang program luar sebelum melibatkan guru atau murid agar tidak timbul elemen yang boleh mencemarkan reputasi pendidikan negara.

Katanya, warga pendidik harus memberi tumpuan kepada usaha membina kekuatan dan semangat dalam kerjaya mereka dan KPM juga menyediakan pelbagai bentuk sokongan serta pembangunan profesional secara berterusan kepada guru demi memperkasa profesion perguruan dalam ekosistem pendidikan yang lebih terarah dan selamat.

Related Posts

UMNO undang pemimpin tertinggi parti Melayu, Islam mula usaha pembentukan kolaborasi agung

KUALA LUMPUR – UMNO akan mengundang pemimpin tertinggi setiap parti politik Melayu dan Islam untuk memulakan usaha pembentukan kolaborasi agung dalam masa terdekat. Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional…

Lebih lanjut

teruskan membaca
UMNO tubuh kolaborasi agung Melayu tanpa menggugat Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR – UMNO berhasrat untuk menyatukan seluruh parti Melayu dan Islam di bawah satu gabungan dikenali ‘grand collaboration’ atau ‘kolaborasi agung’, tanpa berhajat untuk menggugat Kerajaan Perpaduan. Presiden UMNO,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

UMNO undang pemimpin tertinggi parti Melayu, Islam mula usaha pembentukan kolaborasi agung

UMNO undang pemimpin tertinggi parti Melayu, Islam mula usaha pembentukan kolaborasi agung

Kenyataan bertentangan gores UMNO datang daripada DAP ‘Team B’

Kenyataan bertentangan gores UMNO datang daripada DAP ‘Team B’

Projek Hopecare tingkat akses air bersih komuniti luar bandar Limbang

Projek Hopecare tingkat akses air bersih komuniti luar bandar Limbang

Ahmad Zahid diberi tanggungjawab jaga FELDA, FGV

Ahmad Zahid diberi tanggungjawab jaga FELDA, FGV

Maritim Tawau tahan bot nelayan tempatan, langgar syarat sah lesen

Maritim Tawau tahan bot nelayan tempatan, langgar syarat sah lesen

Sabah lancar pelan pengurusan warisan dunia baharu, tumpu isu perubahan iklim

Sabah lancar pelan pengurusan warisan dunia baharu, tumpu isu perubahan iklim