
PARIT BUNTAR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan terus memantau perkembangan harga telur ayam dari semasa ke semasa bagi memastikan kestabilan bekalan dan harga di pasaran kekal terkawal.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata jangkaan kenaikan harga telur sebanyak 3 sen sebiji selepas penghapusan subsidi bermula 1 Ogos depan hanyalah ramalan semata-mata dan belum dapat dipastikan.
“Ketika kerajaan mengapungkan harga ayam sebelum ini, ramai menjangka harga akan melonjak, namun sebaliknya berlaku.
“Justeru, kita lihat dahulu perkembangan sebenar. Kementerian akan terus memantau situasi ini dan berharap tiada lonjakan harga berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak di sini, pada Selasa.
Majlis disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang turut diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Mengulas lanjut, Mohamad menjelaskan keputusan menamatkan subsidi 5 sen sebiji kepada penternak telur dibuat selepas beberapa sesi libat urus bersama jabatan dan agensi berkaitan di peringkat kementerian.
“Keputusan ini mengambil kira pelbagai faktor, termasuk perkembangan harga bahan makanan ternakan seperti soya dan jagung yang kini menunjukkan sedikit penurunan,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pengguna tidak akan membuat pembelian panik berikutan pasaran yang stabil dan sokongan pelbagai inisiatif kerajaan seperti Jualan Rahmah dan Agro MADANI.
“Insha-Allah, pembelian panik tidak berlaku. Sekiranya berlaku sekalipun, kerajaan bersedia menampung keperluan pengguna,” tambah beliau.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) menjangkakan harga telur berkemungkinan meningkat sekiranya kos pengeluaran kekal pada kadar 38 sen sebiji.
Timbalan Presidennya, Lee Yoon Yeau, berkata lebih 100 pengusaha ladang ternakan yang mengeluarkan 33 hingga 35 juta telur sehari akan terkesan apabila subsidi berakhir pada 31 Julai ini.