KPDN Sandakan catat rampasan lebih RM1 juta, selesaikan 70 kes sejak Januari

SANDAKAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan merekodkan rampasan berjumlah RM1,008,409.74 juta melibatkan 70 kes atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh dari 1 Januari sehingga kini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Cawangan Sandakan, Azdy Zukkry John berkata, pihaknya turut menerima 24 aduan dengan 23 daripadanya telah diselesaikan manakala baki satu aduan masih dalam siasatan.

Menurutnya, dalam tempoh yang sama, KPDN Sandakan telah mengutip kompaun sebanyak RM15,000 atas pelbagai kesalahan yang ditemukan.

“Sejak 1 Januari hingga kini, KPDN Cawangan Sandakan telah menjalankan 1,683 pemeriksaan meliputi 1,124 pemeriksaan di bandar dan 559 pemeriksaan di luar bandar di daerah Sandakan.

“Hasil pemeriksaan tersebut, sebanyak 70 kes telah diambil tindakan dengan jumlah rampasan berjumlah RM1,008,409.74,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 56 kes telah diselesaikan dan dikompaun manakala 14 kes lagi masih dalam siasatan lanjut.

Katanya, pemeriksaan tersebut melibatkan pelbagai jenis kesalahan yang merangkumi isu bekalan, harga serta penjualan barang tiruan dan tidak sah.

Terdahulu, Azdy bersama dengan sepasukan anggota KPDN Sandakan turut mengadakan pemantauan dan pemeriksaan di Bazar Ramadan yang terletak di kawasan tempat letak kenderaan Bataras Hypermarket, Sandakan.

Tambah Azdy, pemeriksaan ke atas hampir 100 gerai di bazar tersebut mendapati kebanyakan peniaga mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDN, terutamanya dalam penandaan harga mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

Jelas beliau, menjelang Hari Raya Aidilfitri KPDN Sandakan akan meneruskan pemantauan di bawah Ops Pantau 2025 yang memberi fokus kepada pemeriksaan bekalan dan harga barang, jualan murah, penggunaan alat timbangan yang sah serta penjualan barang tiruan dan cetak rompak.

“Selain daripada Bazar Ramadan, pemeriksaan juga akan dipertingkatkan di pasar awam, pasar raya, pasar basah dan kedai runcit di seluruh daerah ini.

“Para peniaga diingatkan agar mematuhi undang-undang dan amalan perniagaan yang beretika, serta tidak mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan berlebihan, terutamanya dalam tempoh sambutan Hari Raya,” ujarnya.

Menurut Azdy, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga barang.

“Alhamdulillah, berdasarkan pemantauan kami, harga barang di gerai-gerai ini mematuhi peraturan dan kami tidak menemukan sebarang isu mengenai kenaikan harga,” kata Azdy.

Dalam pada itu, KPDN Sandakan juga bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) untuk memastikan bahawa bekalan barang keperluan seperti gula, tepung dan minyak masak sentiasa mencukupi sepanjang bulan Ramadan.

“Bekalan barang keperluan adalah stabil dan kami menjangkakan penghantaran lebih kurang 240 tan gula dalam masa terdekat.

“Selain itu, kami mempunyai lima pemborong yang akan memastikan bekalan barang sentiasa ada di pasaran,” ujar Azdy.

Menurut beliau, walaupun permintaan barang keperluan dijangka meningkat sepanjang bulan Ramadan, pihak KPDN Sandakan menjamin bekalan akan mencukupi hingga menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Beliau turut mengingatkan para peniaga agar mematuhi segala perundangan yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan memberi jaminan bahawa sekiranya ada pengguna yang menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan barang, mereka boleh menghubungi pihak KPDN Sandakan untuk mendapatkan bantuan.

“Jangan ragu untuk melaporkan sekiranya ada sebarang masalah. Kami akan berusaha membantu memastikan bekalan barang mencukupi dan stabil sepanjang Ramadan dan Hari Raya nanti,” katanya.

Sementara itu, pengguna juga dinasihatkan untuk berbelanja secara bijak dan mengamalkan perbelanjaan berhemah.

Justeru, pengguna adalah disarankan agar menyalurkan terus aduan yang tepat dan terperinci kepada KPDN melalui pelbagai platform rasmi yang disediakan.

Related Posts

4 RUU diluluskan pada sidang DUN Sabah ke-17

KOTA KINABALU – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan empat Rang Undang-Undang (RUU) pada mesyuarat pertama penggal kedua DUN Sabah yang ke-17, di sini pada Khamis.  Antara RUU baharu yang…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pengosongan Balai Luak Undang Sungei Ujong oleh Mubarak ditangguhkan

DATUK Mubarak Dohak dilapor menangguhkan arahan pengosongan kompaun kediaman rasmi Balai Luak Undang Sungei Ujong buat masa ini atas beberapa alasan. Setiausaha Sulit Undang Luak Sungei Ujong , Ahmad Hanafi…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

RGT Kemaman: Antara harapan besar dan realiti yang perlu dinilai secara jujur

RGT Kemaman: Antara harapan besar dan realiti yang perlu dinilai secara jujur

4 RUU diluluskan pada sidang DUN Sabah ke-17

4 RUU diluluskan pada sidang DUN Sabah ke-17

Pengosongan Balai Luak Undang Sungei Ujong oleh Mubarak ditangguhkan

Pengosongan Balai Luak Undang Sungei Ujong oleh Mubarak ditangguhkan

SICC transformasi jadi platform strategik jaringan perniagaan serantau

SICC transformasi jadi platform strategik jaringan perniagaan serantau

Hari Sukan SK FELDA Jengka 24 platform jalin hubungan antara komuniti

Hari Sukan SK FELDA Jengka 24 platform jalin hubungan antara komuniti

133 jemaah haji Sarawak berangkat ke Tanah Suci diiringi doa TYT Sarawak

133 jemaah haji Sarawak berangkat ke Tanah Suci diiringi doa TYT Sarawak