TAIPING – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya menggagalkan cubaan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) dalam satu serbuan di sebuah rumah yang dijadikan stor simpanan di Kampung Matang Kamunting, Trong, di sini pada Selasa.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan Ops Gasak itu dijalankan oleh penguat kuasa KPDN Cawangan Taiping sekitar jam 10.30 pagi.
Ujarnya, rumah tersebut didiami sepasang suami isteri tempatan berusia 54 dan 44 tahun.
“Pemeriksaan di premis tersebut menemukan 42 tong LPG, terdiri daripada 26 tong seberat 14 kilogram (kg), 14 tong (12kg), dan dua tong kosong (14kg) yang disimpan di bahagian hadapan rumah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau menambah, pasangan suami isteri terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran, lesen, atau permit daripada Pengawal Bekalan untuk menyimpan barang kawalan tersebut.
Sehubungan itu, kesemua 42 tong LPG tersebut telah disita dengan anggaran nilai sitaan berjumlah RM4,370.80.
Kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan.







