TANJUNG MALIM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, berjaya merampas sebanyak 19,000 liter diesel yang disyaki disimpan tanpa permit di sebuah tapak pembinaan di Ladang Changkat Asa, di sini, pada Selasa.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dilakukan oleh anggota KPDN Cawangan Tapah kira-kira jam 1.30 tengah hari, hasil maklumat risikan yang dijalankan.
“Hasil pemeriksaan menemukan dua tangki skid yang mengandungi minyak diesel disyaki disimpan tanpa kelulusan.
“Seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang mendakwa sebagai pengurus tapak gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran, lesen atau permit untuk menyimpan bahan kawalan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Susulan itu, pihak penguat kuasa telah menyita dua tangki skid, peralatan berkaitan serta minyak diesel terbabit dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM60,550.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa.
Kamalludin turut menegaskan bahawa KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan dan akan meneruskan tindakan penguatkuasaan termasuk pendakwaan di mahkamah.
“Sebagai usaha strategik, KPDN mempergiatkan pelaksanaan Inisiatif ‘Kita Gempur’ bagi membanteras sebarang bentuk manipulasi dalam sektor perniagaan dan pengedaran,” katanya.
Jelas beliau, inisiatif tersebut turut merangkumi pencegahan penipuan perniagaan dalam talian, pembanterasan monopoli serta penghapusan kewujudan kartel dalam pasaran.







