PENYELESAIAN Dua Negara bermaksud wujudnya negara Israel dan Palestin yang berdaulat merupakan dasar luar Malaysia sejak awal sebelum perang Enam Hari pada 1967 begitu juga dengan dasar luar Amerika Syarikat (AS).
Pembangkang hanya sekadar mengambil kesempatan dalam kesempitan untuk ‘menunggang’ kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya beliau menerima ‘hak Israel untuk wujud dan mempertahankan diri’.
Ia berikutan penularan potongan video wawancara Anwar bersama CNN yang dikendalikan oleh Richard Quest baru-baru ini.
Pemimpin pembangkang dan aktivis pro-Palestin kononnya melahirkan rasa terkejut dan kesal terhadap pendirian Anwar yang didakwa menerima hak Israel untuk wujud dan untuk mempertahankan diri – dua tuntutan yang sering dibuat terhadap pemimpin Islam oleh kerajaan Barat yang menyokong rejim Zionis itu.
Mengulas kenyataan itu, Geostrategis, Profesor Azmi Hassan berkata, perbezaan dasar luar Malaysia dan AS adalah tentang sempadan berikutan bagi Malaysia sempadan sebelum perang tahun 1967 perlu diambil kira mengenai kewujudan Gaza dan Tebing Barat secara sepenuhnya.
Menurut Azmi, ketika itu juga tiada lagi penempatan haram dan juga Baitulmaqdis Timur dan Golan Heights masih milik Palestin.
“Jadi dalam hal Anwar mengatakan Israel itu perlu wujud ianya telah digunakan oleh pembangkang kerana Penyelesaian Dua Negara yang dipegang oleh Malaysia ini tidak menjadi syarat untuk Malaysia mengiktiraf kewujudan Israel tetapi ia menjadi syarat kepada dua pihak yang bertelingkah.
“Dalam situasi ini Palestin dan Israel untuk wujud secara bersama serta berjiran. Kedua-duanya perlu mengiktiraf antara satu sama lain.
“Iaitu Palestin negara berdaulat mengiktiraf Israel dan walaupun Israel sepatutnya tidak wujud, diiktiraf sebagai negara yang berdaulat untuk hidup tanpa konflik. Bagi negara-negara Islam lain, itu bergantung sama ada hendak mengiktiraf atau tidak walaupun selepas Palestin menjadi negara berdaulat dalam hal ini, termasuk Malaysia.
“Jadi dalam hal ini tidak wujud ‘Malaysia mengiktiraf kedudukan Israel’, tidak…,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press pada Jumaat.

Sementara itu, beliau berpendapat, ia berbeza dengan Abraham Accords 2020 yang dibuat oleh Presiden AS ketika itu Donald Trump dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menormalisasikan hubungan mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara tanpa mengambil kira hak Palestin sebagai sebuah negara.
Perjanjian itu merasmikan permulaan hubungan baharu antara Israel dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Bahrain, sekali gus mengubah landskap politik Asia Barat.
Perjanjian itu bagaimanapun tidak menyentuh mengenai konflik antara Israel dan Palestin.
Sebaliknya, White House menyeru kepada dua negara Arab itu bahawa konflik tersebut bukan halangan bagi mereka menjalinkan hubungan bersama Israel.
“Jadi ini kepincangan Abraham Accords yang berbeza dengan penyelesaian dua negara.
“Tidak semestinya Malaysia akan mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara yang merdeka atau pun yang berdaulat dalam hal ini.
“Dan tidak semestinya Malaysia menormalisasikan hubungan dengan Israel walaupun kewujudan negara Palestin yang berdaulat.
“Jadi ini beza, kena faham apa yang dimaksudkan Penyelesaian Dua Negara,” katanya.
Jelas Azmi, pembangkang dilihat berniat buruk untuk mencipta pelbagai persepsi negatif yang mampu menggugat perpaduan serta keharmonian negara.
“Pasti pembangkang dia faham tetapi cuma hendak memberi persepsi bahawa Anwar sokong Israel itu sebagai sebuah negara berdaulat untuk memberi persepsi negatif, yang amat mengecewakan dan menyedihkan.
“Perkara ini sepatutnya menyatupadukan semua pihak di Malaysia tetapi telah digunakan oleh pembangkang untuk meraih politik dalaman dalam hal ini,” ujarnya.
Hari ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, video tular di media sosial berkaitan kenyataan Perdana Menteri itu telah disunting pihak tertentu.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, pihaknya telah meneliti keseluruhan rakaman video itu dan ternyata ia telah disunting.





