LEGENDA muzik tanah air, Tan Sri Ahmad Nawab meninggal dunia di kediamannya di Taman Melewar, Gombak, Selangor, petang tadi di usia 92 tahun.
Berita sedih itu disahkan anaknya, Nasir Nawab.
“Betul, bapa saya baru meninggal dunia di rumah kira-kira 3.15 petang tadi akibat sesak nafas,” katanya kepada sebuah portal berita.
Ahmad Nawab atau nama penuh, Ahmad Khan Nawab Khan memulakan karier muzik ketika berusia 16 tahun dan dianugerahkan gelaran Seniman Negara Ke-7 oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 2006 – penganugerahan tertinggi negara kepada seniman terutama dalam bidang muzik.
Sepanjang kariernya, Ahmad Nawab menghasilkan lebih 200 album didendangkan artis tempatan dan Indonesia seperti Hetty Koes Endang dan Broery Marantika.
Ahmad Nawab menggubah lagu ‘Malaysia Truly Asia’ dendangan Khadijah yang dianggap dendangan ikon kepada lagu bertemakan pelancongan bagi mempromosikan Malaysia di persada antarabangsa.
Allahyarham pernah berkhidmat dengan Orkestra RTM selama 17 tahun, memenangi pelbagai anugerah seperti Anugerah Merak Kayangan (Lagu Terbaik) bagi lagu ciptaan pertamanya Bintang Malam pada 1980.
Atas kepakaran dan pencapaiannya, Universiti Putra Malaysia mengurniakan anugerah Doktor Falsafah dalam bidang penulisan kehormat pada 2000.
Allahyarham yang melahirkan nama besar dunia seni suara seperti Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Jamal Abdillah, Uji Rashid dan Ramlah Ram, adalah antara 839 tokoh serta individu menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan 2023 daripada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil antara yang merakamkan ucapan takziah di atas pemergian komposer itu.
Melalui ciapan di laman sosial X, Fahmi menyifatkan industri muzik tanah air kehilangan sebutir permata yang tidak ternilai harganya hari ini.
“Sumbangannya dalam bidang berkenaan terlalu besar.
“Sejak era 1950an, beliau telah menggubah lebih 2,000 lagu, menghasilkan lebih 200 album, dan melahirkan ramai nama besar dunia seni suara.
“Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab pernah berkhidmat dengan Orkestra @RTM_Malaysia selama 17 tahun, selain dianugerahkan gelaran Seniman Negara ketujuh pada 2006,” katanya.
Beliau berkata, kehilangan ini pastinya sangat dirasai, bukan sahaja oleh penggiat industri, tetapi juga peminat, serta pendengar muzik tempatan amnya.
“Bagi pihak @komunikasi_gov, saya ucapkan takziah kepada seluruh anggota keluarga Allahyarham dan sahabat handai, khususnya dalam industri muzik.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah,” katanya.





