
MASJID TANAH – Pengorbanan dan jasa petugas kesihatan terus mendapat perhatian kerajaan negeri apabila lebih 200 keluarga besar warga kesihatan Parlimen Masjid Tanah diraikan pada Majlis Santunan Seuntai Kasih, Semekar Legasi Warga Kesihatan Parlimen Masjid Tanah malam tadi.
Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh berkata, profesion sebagai petugas kesihatan bukanlah suatu tugas yang mudah kerana ia menuntut ilmu, kesabaran, ketahanan emosi serta pengorbanan tinggi.
Menurut beliau, warga kesihatan memainkan peranan besar dalam memastikan kesejahteraan lebih 1.05 juta rakyat negeri Melaka terus terpelihara.
“Profesion sebagai petugas kesihatan bukan sekadar kerjaya, tetapi amanah besar yang tidak semua orang mampu galas dengan penuh keikhlasan,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya.
Beliau berkata, sepanjang tempoh tiga tahun mentadbir negeri, lebih RM22 juta telah diperuntukkan menerusi Bajet Negeri bagi memperkasa sektor kesihatan di Melaka.
Tambah beliau, kerajaan negeri turut menaiktaraf 13 Klinik Kesihatan dan Klinik Desa di Parlimen Masjid Tanah selain pembinaan Blok Wanita dan Kanak-Kanak Hospital Melaka yang bakal dilaksanakan tahun ini.
Selain itu, kerajaan negeri juga memperkenalkan Paramedik Komuniti bagi bantuan awal kecemasan, melaksanakan inisiatif “1 PBT 1 Ambulans” serta pemasangan Sistem Butang Kecemasan di lokasi pelancongan utama.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada hampir 9,000 warga kesihatan di negeri ini yang terus komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.





