
SERIAN – Penduduk Serian kini menikmati akses perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan selesa susulan perasmian Klinik Kesihatan Serian yang baharu, pada Jumaat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pembukaan fasiliti tersebut merupakan mercu tanda penting dalam usaha kerajaan memperkukuh agenda kesihatan awam di kawasan berkenaan.
Menurutnya, klinik baharu itu dilengkapi dengan peralatan perubatan yang lebih moden dan kondusif, sekali gus dijangka mampu menampung keperluan rawatan primer penduduk setempat dengan lebih cekap.
“Ini bukan sahaja memberi keselesaan kepada pesakit malah menyediakan persekitaran kerja yang lebih baik untuk petugas kesihatan.
“Projek ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan dan kualiti kesihatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian klinik berkenaan.
Hadir sama, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib; Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee.
Turut hadir, Residen Bahagian Serian, ketua-ketua jabatan serta pemimpin masyarakat setempat.
Foto: Facebook Pusat Parlimen Bukit Semuja





