
SANDAKAN – Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mempercepatkan proses penilaian serta kelulusan peruntukan projek Hospital Duchess of Kent (HDOK) yang diumumkan sebelum ini.
Beliau menyambut baik pengumuman kerajaan berhubung peruntukan bagi menaik taraf hospital kerajaan dan klinik kesihatan luar bandar di seluruh Sabah, namun menegaskan proses penilaian serta kelulusan projek oleh agensi berkaitan sering mengambil masa terlalu lama.
Menurutnya, kelewatan itu menyebabkan rakyat masih belum dapat merasai sebarang peningkatan atau penambahbaikan terhadap kemudahan kesihatan yang telah dijanjikan.
“Sebagai contoh, projek naik taraf HDOK serta beberapa projek lain walaupun telah diumumkan atau diluluskan secara prinsip, masih perlu melalui pelbagai peringkat penilaian dan kelulusan sehingga mengambil masa bertahun-tahun sebelum dapat dimuktamadkan.
“Keadaan ini gagal memberi kesan segera kepada keperluan rakyat di daerah ini,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Vivian turut menyatakan HDOK sekian lama berdepan masalah kekurangan peralatan perubatan serta tenaga pakar, selain perkhidmatan kesihatan mental yang masih sangat terhad dan tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Tambahnya, klinik kesihatan kerajaan di kawasan berpenduduk padat di Sabah juga berhadapan dengan jumlah pesakit yang terlalu ramai sehingga menyebabkan kesesakan serta tempoh menunggu yang panjang.
Sehubungan itu, beliau berharap KKM dapat memberi penjelasan secara terbuka mengenai hala tuju serta penggunaan peruntukan kerajaan Persekutuan yang disalurkan khusus bagi menaik taraf kemudahan kesihatan di kawasan Pantai Timur Sabah.





