KUALA LUMPUR – Seramai 230 murid sekolah rendah dikesan mempunyai masalah merokok dengan 193 daripadanya sudah menjalani intervensi berhenti merokok tahun lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, 44, 211 pelajar sekolah menengah juga dikesan mempunyai masalah sama dan 36,870 daripada angka itu sudah menjalani intervensi berhenti merokok bagi tempoh sama.
Katanya, angka itu berdasarkan statistik Program Kesihatan Oral Tanpa Amalan Merokok (KOTAK) dilaksanakan sebagai pencegahan dan intervensi berhenti merokok dalam kalangan pelajar sekolah.
“KKM turut merekodkan lima laporan kematian berkemungkinan berkaitan penggunaan rokok elektronik atau vape, antara 2019 hingga Jun lalu. Bagaimanapun, hubungan langsung antara penggunaan vape dengan punca kematian sukar disahkan
“Biarpun terdapat kes kematian membabitkan individu menggunakan alat berkenaan. Ini memandangkan keterbatasan bukti klinikal yang ada serta faktor lain turut menyumbang kepada kematian terbabit,” katanya, pada Rabu.
Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis bagi menjawab soalan Ahli Parlimen (PN) Kuantan, Wan Razali Wan Nor mengenai jumlah kematian berkaitan aktiviti menghisap rokok elektronik dan vape serta usaha KKM membendung pembabitan remaja dan kanak-kanak daripada terjebak menghisap alat berkenaan.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, KKM juga menerima 83 laporan kes penyakit yang dikaitkan dengan penggunaan produk merokok, termasuk rokok elektronik atau vape, sehingga Jun lalu dan 44 daripada jumlah berkenaan membabitkan komplikasi serius yang memberi kesan kepada paru-paru.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor memaklumkan, 39 kes lagi adalah membabitkan komplikasi kesihatan lain yang tidak melibatkan paru-paru secara langsung.
“KKM kini memperkukuh sistem survelan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian dikaitkan dengan produk merokok.
“Usaha ini selari pelaksanaan Seksyen 21 Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang memberi kuasa kepada menteri melarang atau menyekat pengimportan, pengilangan, pengedaran atau penjualan produk merokok berdasarkan syor jawatankuasa ditubuhkan di bawah seksyen berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Dzulkefly berkata, penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) serta Peraturan dan Perintah di bawahnya dibuat bagi melindungi golongan kanak-kanak dan remaja daripada terdedah serta terpengaruh tabiat merokok.
Beliau berkata, KKM juga bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi dalam pengukuhan pekeliling, hebahan atau siaran melarang murid sekolah membawa barang terlarang seperti rokok elektronik atau vape.
“Program intervensi berhenti merokok dalam kalangan pelajar sekolah turut dijalankan 12,570 guru kaunseling dan guru Program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) menerusi latihan diberikan KKM.
“Perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok (KBM) dan ‘One Stop Centre for Addiction’ (OSCA) turut disediakan di 857 (KBM) serta 111 (OSCA) di seluruh negara.
“Ibu bapa atau penjaga boleh membawa anak terbabit amalan merokok mahupun penggunaan rokok elektronik atau vape ke klinik ini bagi mendapatkan khidmat rawatan dan sokongan berhenti merokok secara profesional,” katanya.





