KUALA LUMPUR – Pengecualian lantikan kontrak interim bagi jururawat merupakan antara inisiatif dalam meningkatkan jumlah perjawatan untuk kesinambungan penyampaian perkhidmatan kesihatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dasar terbabit membenarkan semua pengambilan baharu Jururawat Gred U5 dilaksanakan secara lantikan tetap.
Menurutnya, Kementerian juga meningkatkan pengambilan pelatih Diploma Kejururawatan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM daripada 1,500 kepada 3,000 dengan seramai 5,077 pelatih sedang mengikuti latihan Diploma Kejururawatan di ILKKM, sehingga Mac lalu.
“Selain pengambilan menerusi ILKKM, kementerian menyasarkan pengambilan 1,000 jururawat graduan Diploma Kejururawatan keluaran universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), tahun ini.
“Selain itu, penamatan moratorium bagi program Diploma Kejururawatan di UA dan IPTS oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, mulai 1 Ogos 2024. Sehingga kini, sebanyak 13 kolej sudah memohon untuk membuka program baru bagi diploma kejururawatan.
“Menerusi Lembaga Jururawat Malaysia, kementerian melonggarkan syarat kemasukan ke program Diploma Kejururawatan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi menyasarkan peningkatan lepasan SPM ke bidang kejururawatan di ILKKM, UAdan IPTS,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis bagi menjawab soalan Ahli Parlimen (BN) Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengenai langkah mengatasi masalah kekurangan jururawat di hospital awam, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, inisiatif terbaru diperkenalkan kerajaan iaitu Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) mulai 1 Disember 2024, bertujuan meningkatkan kualiti dan memperbaharui perkhidmatan awam.
Katanya, polisi baharu itu turut mengambil kira gaji, insentif serta kemudahan kepada anggota perkhidmatan awam, termasuk pegawai yang berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Inisiatif lain sudah diambil bagi menggalakkan kemasukan ke Program Diploma Kejururawatan dengan membuka peluang kepada lepasan graduan selain SPM seperti lepasan Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, Sijil Tinggi Agama Malaysia, ‘O’ dan ‘A’ Level serta International General Certificate of Secondary Education.
“KKM juga sedang meneliti beberapa cadangan tambahan seperti pelantikan semula jururawat sudah bersara secara ‘Contract of Service’ atau ‘sessional’.
“Mempertingkatkan publisiti profesion jururawat dan Latihan Separa Perubatan Jururawat melalui pelbagai platform termasuk Program MADANI Rakyat, promosi pendidikan dan lain-lain serta meningkatkan pengambilan pelatih melalui ‘outsourcing’ atau tajaan latihan bagi melanjutkan pengajian Diploma Kejururawatan di UA atau IPTS,” katanya.






