
BIARPUN ditadbir oleh kerajaan Pakatan Nasional, rakyat Perlis khususnya penduduk luar bandar tidak pernah dipinggirkan kerajaan Persekutuan, malahan menerima nikmat pembangunan secara langsung di bawah pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Hampir RM549 juta diperuntukkan untuk pelbagai projek pembangunan luar bandar di Perlis bagi tahun 2024 yang dilaksanakan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Daripada jumlah itu, sebanyak 131 program dan projek telah dirancang, termasuk 34 projek Jalan Perhubungan Desa (JPD) dengan kos RM3.46 juta, tujuh projek menaik taraf longkang melalui Program Ameniti Sosial (PAMS) bernilai RM550,000, serta tiga projek Jalan Ladang atau Jalan Pertanian dengan kos RM500,000.
Pengarah Pejabat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Negeri Kedah/Perlis/Pulau Pinang, Mohd Nizam Mokhtar berkata, peruntukan itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkasakan pembangunan luar bandar di Perlis.
“KKDW sentiasa komited memastikan projek dan program pembangunan luar bandar memberi manfaat langsung kepada rakyat, terutama dalam meningkatkan kemudahan asas serta kesejahteraan penduduk.
“Selain itu, peruntukan tambahan RM500,000 digunakan untuk membina dan menaik taraf jalan ladang bagi memudahkan pengangkutan hasil pertanian oleh pekebun kecil,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, melalui projek bekalan air luar bandar (BALB) Retikulasi, sebanyak tujuh projek bernilai RM910,000 telah siap dilaksanakan, memberi manfaat kepada penduduk di kawasan seperti Kampung Sungai Berembang, Kuala Perlis, dan Kampung Mengkuang Lahar, Tambun Tulang.
Menurut Mohd Nizam, Projek Jalan Luar Bandar (JALB) yang merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sedang berjalan dengan kos keseluruhan sebanyak RM542.19 juta untuk memperluas rangkaian jalan raya di kawasan luar bandar.
“Dalam usaha menoktahkan kemiskinan luar bandar, kerajaan memperkenalkan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) dengan peruntukan RM2.02 juta bagi membina 16 rumah baharu dan membaiki 53 unit rumah milik golongan miskin tegar di Perlis.
“Sebanyak 264 unit Lampu Jalan Kampung (LJK) Fasa 11 turut dipasang di ketiga-tiga parlimen negeri Perlis, dengan setiap parlimen menerima 88 unit lampu,” jelasnya.
Tambahnya, projek-projek ini adalah bukti komitmen kerajaan untuk memperkasakan pembangunan luar bandar dan meningkatkan kesejahteraan rakyat di Perlis.






