
BAGAN DATUK – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menduduki tangga pertama daripada 43 Kampung Angkat Madani (KAM) dalam kemajuan pelaksanaan projek dan perbelanjaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia berdasarkan kejayaan projek di Sungai Betul, di sini, dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta disalurkan berjaya di selesaikan sepenuhnya.
Ujarnya, kesemua projek tersebut melibatkan 14 projek fizikal dan bukan fizikal telah selesai dilaksanakan pada 30 November lalu.
“Kampung Sungai Betul telah dipilih sebagai KAM untuk KKDW pada tahun 2024 ini. KKDW telah mengambil langkah proaktif untuk memajukan KAM serta menyiapkan segera projek di bawah kementerian.
“Apa yang boleh dibanggakan, kami (KKDW) menduduki tangga pertama daripada 43 KAM dari segi pelaksanaan projek dan kemajuan perbelanjaan,” katanya ketika berucap pada Program Tautan Desa Madani sempena Program Kampung Angkat Madani KKDW di Kampung Sungai Betul, di sini semalam.

Beliau turut menjelaskan, di samping projek fizikal, inisiatif bukan fizikal seperti program keceriaan kampung dan kursus kemahiran juga turut dijalankan dalam usaha untuk mengeratkan hubungan komuniti serta pengembangan potensi diri penduduk.
Tambahnya, Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Betul juga yang sebelum ini dibina sebagai dewan terbuka akan dinaik taraf dengan melakukan beberapa penambahbaikan.
“KKWD telah memberikan penumpuan kepada projek dan program di Kampung Sungai Betul antaranya menaik taraf pagar Beting Beras Basah; naik taraf jalan perhubungan desa dari Kampung Bagan Sungai ke Beting Beras Basah selain jalan ladang pertanian.
“Menerusi peruntukan tambahan KKWD, dewan tersebut akan dinaik taraf dengan membina dinding serta memasanag pendingin hawa yang akan dinamakan Dewan Datuk Yahya Zakaria,” kata Zahid lagi.

Tambah beliau, sebagai Menteri KKDW, beliau berbangga dengan dedikasi semua pihak terlibat dalam merealisasikan inisiatif KAM tersebut.
“Saya yakin usaha berterusan ini akan menjadi pemangkin dalam membangunkan desa dengan pendekatan lebih progresif,” ujar beliau.
Pada masa sama, KKWD turut menaik taraf dewan orang ramai; padang bola sepak SK Sungai Betul; baik pulih titi Sungai Balai; menaik taraf Surau Idrisiah dan Masjid Ismailiah selain baik pulih 25 buah rumah rakyat miskin dan program komuniti.




