MASA saya kecil-kecil dulu – sebelum masuk darjah satu, selalu jugalah saya cari peluang tidur di rumah nenek sebelah ayah.
Saya akan baring di celah nenek dan datuk sambil dengar pelbagai “wayatan” (penceritaan) nenek, antaranya kisah Pak Pandir.
Kisah Pak Pandir itu banyak episod, satu daripadanya perihal Pak Pandir nak kahwin lagi dan cuba tipu isteri tapi akhirnya dia yang tertipu.
Sesiapa yang tidak pernah dengar (baca dan sebagainya) kisah itu, mungkin boleh cari buku berkenaannya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau berkunjung ke sebarang pesta buku, contohnya, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL)
Yang pernah dengar kisah itu pula tentu perasan sedikit persamaannya dengan kisah pihak pembangkang cuba mengenakan Kerajaan Perpaduan baru-baru ini dalam kes “tidak kelihatan seorang pun kakitangan awam di ruang kerja pada hal waktu itu sudah jam 9:00 pagi”.
Penyokong pembangkang itu seakan-akan mahu menimbulkan kebencian umum kepada kerajaan yang baru-baru ini menaikkan gaji kakitangan awam.
Dia mungkin berharap, jutaan pengundi yang bukan kakitangan awam itu marah kepada Kerajaan Perpaduan kononnya membazirkan wang negara sedangkan kakitangan awam bermalas-malasan.
Isu itu akhirnya menarik campur tangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) namun didapati gambar yang tular itu gambar lama (berlaku sebelum era Kerajaan Perpaduan).
Itu satu hal, dan yang lebih menariknya, gambar itu rupa-rupanya
gambar salah satu ruang kerja kakitangan syarikat Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB).
Lihat; sekarang terbongkar isi perut penyokong pembangkang bersekali najis mudanya (najis yang belum betul-betul selesai proses menjadi najis).
Yang culas itu (jika betul culas) sebenarnya kakitangan agensi kerajaan PAS – berlaku di Serambi Mekah.
Sungguhpun begitu Menteri Besar Kelantan ketika itu menafikan kakitangan itu culas tapi katanya kakitangan agensi itu ke bilik air dan yang lain pula ada hal mendesak di rumah.
Sebenarnya kerap juga berlaku kes “berbau pandir” ini dalam kalangan “tentera” pembangkang.
Mereka cipta isu; mahu bakar musuh, kemudian apinya menghanguskan buntut mereka sendiri.
Apabila ditanya adakah itu tindakan yang betul, “tentera” pembangkang yang lain tetap mempertahankan onar itu dan menegaskan bahawa itu satu bentuk strategi.
Saya terfikir juga, adakah memfitnah dibenarkan oleh Islam atas nama strategi?
Ada sesiapa boleh jawab?
SEKIAN.





