
KOTA KINABALU – SBH Kibing New Solar Energy (Kibing) terus membuktikan komitmennya dengan pengambilan 84 peratus pekerja rakyat tempatan dalam menyokong pembangunan industri, selain merancang pelbagai agenda pembangunan di masa depan.
Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, beliau bangga dengan pencapaian serta hala tuju Kibing yang kini menjadi antara pelabur perindustrian utama di negeri ini.
“Saya bangga dengan pencapaian Kibing serta inisiatif yang dijayakan termasuk mengambil lebih 84 peratus pekerja daripada kalangan rakyat Sabah dan usaha untuk terus meningkatkan peratusan itu pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan kerja di Kibing Solar di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Sepanggar.

Dalam pada itu, Ewon turut menghargai pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu kepada masyarakat, selain menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.
Tambahnya, komitmen kerajaan dalam menangani isu kesesakan di Pelabuhan Sepanggar perlu diambil serius, yang bukan sahaja memberi kesan kepada Kibing, tetapi turut membabitkan pemain industri lain di Sabah.
“Saya mengambil serius perkara ini dan memberi jaminan bahawa langkah proaktif akan diambil dengan melibatkan semua pemegang taruh bagi memastikan penyelesaian yang efektif,” katanya.
Katanya lagi, pengukuhan ekosistem logistik dan infrastruktur pelabuhan amat penting bagi menyokong pertumbuhan sektor perindustrian dan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti.
Lawatan kerja itu turut disertai wakil Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS); Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah; KKIP Sdn. Bhd; Sabah Electricity; Suruhanjaya Tenaga Sabah; Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Sabah; Jabatan Pembangunan Perindustrian (DIDR); Jabatan Keretapi Sabah serta persatuan industri logistik.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap MINDET, Datuk Thomas Logijin, Pengurus Besar LPPS, Dollyn Aloysius dan wakil-wakil jabatan serta agensi kerajaan negeri.
Beroperasi di KKIP, Kibing Solar merupakan sebahagian daripada Kibing Group China iaitu pengeluar kaca dan bahan solar teknologi tinggi.







