KUANTAN – Lebih 3,000 Jalur Gemilang dipasang di sekitar kawasan tanah rancangan FELDA Jengka 24, dekat Jerantut, sempena sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini.
Semua bendera itu dibeli sendiri oleh warga peneroka FELDA berkenaan.
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, walaupun tidak ada pertandingan khusus membabitkan pemasangan Jalur Gemilang tahun ini, namun ia tidak menjadi alasan kepada penduduk untuk tidak memeriahkan kawasan mereka dengan hiasan bendera kebanggaan rakyat Malaysia itu.
![]()
“Semua penduduk tanpa mengira peringkat umur begitu bersemangat dalam menjayakan pemasangan Jalur Gemilang di semua lokasi sekitar FELDA Jengka 24.
“Tahun ini kita berjaya mengumpul dana sendiri dan memasang kira-kira 3,000 Jalur Gemilang… ia dipasang di pelbagai lokasi strategik seperti laluan masuk ke tanah rancangan kami dan laluan di blok penempatan penduduk,” katanya.
Razak turut berkongsi mengenai semangat patriotisme dalam kalangan warga peneroka FELDA itu sangat luar biasa.
“Kita pernah mengumpul dan memasang sehingga 10,000 Jalur Gemilang beberapa tahun lalu.
“Paling penting adalah pembabitan semua pihak, daripada kanak-kanak hingga warga emas… semuanya tidak melepaskan peluang memeriahkan suasana sambutan Hari Kemerdekaan,” jelasnya.





