KUANTAN – Seramai 30 kanak-kanak diraikan dalam program Khatan Perdana FELDA Jengka 24, dekat Jerantut, pagi tadi.
Program itu diadakan di perkarangan Masjid As-Sobirin, dekat tanah rancangan itu.
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, jumlah penyertaan bagi program tahun ini bertambah berbanding tahun lalu.
“Tahun lepas kita raikan 18 peserta untuk berkhatan, tahun ini ada 30 orang.
“Kita harap jumlahnya dapat kita tambah tahun seterusnya… dan memang kita bercadang untuk menjadikan ia sebagai program tahunan,” katanya.
Hadir sama pada program itu adalah Pengurus FELDA Jengka 24, Saiful Mohd Pauzi.
![]()
Program dimeriahkan dengan kehadiran jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang menyediakan pancuran air untuk peserta sebelum dikhatankan.
Ditanya mengenai objektif utama penganjuran program, Razak memberitahu, ia adalah bagi menunjukkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga peneroka di FELDA berkenaan.
“Melalui program seperti ini, kita dapat berkumpul dan merapatkan lagi hubungan antara warga peneroka dan keluarga mereka.
“Paling penting adalah kita dapat membantu meringankan bebanan keluarga memandangkan kos untuk berkhatan sekitar RM100 hingga RM150 untuk seorang.
“Jadi, kita dapat bantu sedikit sebanyak… dan bila dah buat secara beramai-ramai, boleh hilangkan rasa takut atau gemuruh mereka (anak-anak) yang berkhatan,” katanya.





