
KEMENTERIAN Sumber Manusia (Kesuma) membuat laporan polis terhadap Chegubard yang mendakwa grafik pada kain rentang promosi satu sesi town hall mengandungi unsur pluralisme dan sekularisme.
Laporan itu dibuat di Balai Polis Putrajaya pagi tadi berhubung kenyataan Chegubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin yang mempersoalkan keputusan kementerian menggunakan gambar yang didakwanya sebagai gereja sebagai latar belakang kain rentang town hall tersebut.
“Adakah selama ini kain rentang dan sepanduk program kerajaan ada letak imej masjid dan mereka kini nak tunjuk mereka pula boleh guna gambar gereja untuk tunjuk kesaksamaan agama?
“Ini usaha pluralisma dan liberalisma melampau,” kata ahli Bersatu itu dalam hantaran di Facebook, semalam.
Wakil Kesuma menjelaskan, laporan polis itu berkait pereka grafik yang hanya menggunakan Canva, sebuah perisian yang menyediakan alat untuk menghasilkan grafik bagi media sosial dan pembentangan.
Menurutnya, pereka grafik itu memilih latar belakang itu selepas melakukan carian imej berkaitan “town hall” dalam perisian tersebut.
“Pereka grafik tidak memilih gambar gereja. Itu saya boleh sahkan. Dia hanya membuat carian ‘town hall’,” katanya.