
KOTA KINABALU – Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, isu kesesakan di Pelabuhan Sepanggar sedang ditangani dengan menaik taraf dan meningkatkan kapasiti di pelabuhan itu.
“Usaha menaik taraf dan meningkatkan kapasiti di Pelabuhan Sepanggar sedang berjalan walaupun berlaku kelewatan, lanjutan masa (EOT) kali keempat telah diberikan.
“Saya berharap projek itu dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Saya ada tanggungjawab untuk memandatau pelaksanaan tersebut kerana sebarang kelewatan projek menaiktaraf di Pelabuhan Sepanggar merupakan kerugian kepada Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas diberikan taklimat oleh Pengurus Besar LPPS, Dollyn Aloysius, sempena kunjungan rasminya ke Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS), di sini pada Selasa.
Beliau yakin LPPS dan kementerian dapat sama-sama mengambil tanggungjawab bersama untuk memastikan semua projek penaiktarafan pelabuhan-pelabuhan Sabah dapat dijayakan.
Ewon berkata, LPPS juga bertangungjawab terhadap jeti-jeti persendirian, termasuk yang dikendalikan oleh kilang-kilang besar dan meminta supaya penguatkuasaan atau pemantauan dapat dilaksanakan bagi memastikan Sabah dapat mempertahankan haknya terutama berkaitan pungutan hasil.
“Setakat Januari hingga Oktober 2025, LPPS melalui pelabuhan seluruh Sabah (Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar, Pelabuhan Tawau dan Pelabuhan Sandakan) telah mengendalikan sebanyak 445,054 tue (twenty-foot equivalent units) kontena,” katanya.
Beliau berkata, kunjungan ke LPPS hari ini sekali gus menerima taklimat menyeluruh mengenai prestasi semasa, peranan dan hala tuju pembangunan pelabuhan di seluruh Sabah.
“Selain mendalami inisiatif-inisiatif sedia ada yang sedang dilaksanakan oleh LPPS, saya juga berkongsi wawasan dan hala tuju saya di Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan,” ujarnya.







