CYBERJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan tidak akan berlaku sebarang kebocoran maklumat ketika proses peralihan tiga sistem sedia ada iaitu MyNIISe, MyBorderPass dan MyDigitalID kepada sistem tunggal di pintu masuk negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pertukaran platform baharu itu tidak membabitkan sebarang ancaman terhadap kecurian data imigresen negara.
“Sistem baharu itu turut menggunakan teknologi pengenalan wajah dan pengesahan iris bagi memastikan individu yang menggunakan sistem adalah pemegang pasport yang sah dan sama.
“Jadi, isu kecurian data imigresen tidak timbul kerana keseluruhan sistem dibangunkan dan diuruskan oleh kerajaan, termasuk penyediaan infrastruktur serta penyelenggaraan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Luncheon Talk Menteri Dalam Negeri Bersama Media, pada Rabu.
Isnin lalu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban menjelaskan, tiada pertindihan fungsi berhubung pelaksanaan sistem MyNIISe, MyBorderPass dan MyDigitalID, sebaliknya setiap satu mempunyai fungsi tersendiri.
Zakaria berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung beberapa hantaran tular yang mengelirukan berhubung pelepasan imigresen melalui kemudahan pintu automatik menggunakan aplikasi berkenaan.

Dalam pada itu, Saifuddin memaklumkan, proses peralihan tiga sistem sedia ada kepada sistem tunggal di pintu masuk negara dijangka dilaksanakan April ini.
Beliau berkata, langkah tersebut bertujuan melancarkan operasi di semua pintu masuk negara.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjalankan pemantauan setiap hari bagi meneliti proses peralihan berkenaan sebelum ia dilaksanakan pada suku kedua tahun ini.
“Ketika ini KDN mempunyai pasukan yang setiap hari duduk bermesyuarat bagi memantau proses peralihan berkenaan, mereka akan pantau di bahagian yang mempunyai gangguan,” katanya.
Saifuddin berkata, sebanyak 635 sistem pintu automatik akan disediakan di seluruh pintu masuk negara bagi meningkatkan kecekapan serta keselesaan pengguna.
“Kami menumpukan usaha bagi memastikan keselesaan apabila pelaksanaan bermula pada awal suku kedua dan akan berlaku peralihan di beberapa pintu masuk. Ketika ini, kami sedang melaksanakan proses percubaan atau ‘dry run’,” katanya.






