
KUANTAN – Polis menahan seorang lelaki dipercayai suspek kes bunuh wanita yang ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek berusia 53 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Pahang dan Terengganu di sebuah rumah, kawasan perumahan Wakaf Tembusu, dekat Gong Badak, Terengganu kira-kira jam 5.30 pagi tadi.
Katanya, turut dirampas bersama suspek ialah sebentuk cincin, wang tunai, pakaian dan dokumen bagi membantu siasatan.
“Pihak polis akan membuat permohonan tahanan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan kes bunuh terbabit.
“Pihak polis mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.






