SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menyiapkan kertas cadangan berhubung mekanisme pelaksanaan insentif gula secara bersasar sebelum dibentangkan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri KPDN, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, beberapa cadangan dimasukkan ke dalam kertas cadangan itu, namun ia belum dapat didedahkan kerana pihaknya masih menunggu proses pembentangan di peringkat Kabinet.
“Kami sedang melengkapkan beberapa cadangan bagaimana mekanisme penyasaran insentif gula ini dapat dilaksanakan secara berkesan.
“Sebaik sahaja selesai, kementerian akan membawa kertas ini untuk pertimbangan Jemaah Menteri,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Beli Barangan Malaysia Peringkat Lotus’s Malaysia di Lotus’s Setia Alam, hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Roziah Abudin dan Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam.
Terdahulu, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dilaporkan berkata, kerajaan sedang meneliti pelaksanaan penyasaran subsidi barangan keperluan utama termasuk gula, beras dan minyak masak secara berperingkat bagi mengelakkan ketirisan ketika persidangan Dewan Rakyat pada 3 November lalu.
Hui Ying berkata, langkah itu akan dilaksanakan selepas kajian holistik dibuat bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan dan tidak membebankan rakyat.







