
KUCHING: Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) menjalinkan kerjasama dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui tandatangan memorandum persefahaman (MoU).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Ts. Mazli Mustaffa, inisiatif ini mendapatkan pencapaian penting dalam membangunkan pusat kecemerlangan untuk memajukan industri pengangkutan awam hijau di Sarawak melalui kerjasama dengan institusi pengajian tinggi.
“Inisiatif ini bertujuan memupuk sumber tenaga kerja mahir dan memacu inovasi dalam sistem pengangkutan awam,” ujar beliau.
Tambah beliau, kerjasama ini sangat penting dalam usaha memajukan pendidikan dan penyelidikan berkaitan pengangkutan rel.
“Dengan mengintegrasi pengetahuan akademik dengan pengalaman sektor industri, kami berhasrat mahu melengkapkan kemahiran golongan profesional untuk menyumbang kepada sektor pengangkutan,” ujar beliau lagi.
Beliau berkata demikian dalam majlis Memorandum Persefahaman (MoU) yang diadakan di kampus UTHM di Batu Pahat, Johor.
Sementara itu, kerjasama antara Sarawak Metro dengan UTHM berhasrat mahu memberi pendedahan kepada kakitangan dan pelajar berkaitan industri, peralatan dan instrumen.
Selain itu, kerjasama tersebut mempromosi pertukaran pengetahuan teknikal dan penyelidikan teknologi pengangkutan dan kejuruteraan.
Menariknya, tumpuan kepada inisiatif pembangunan sumber manusia yang strategik mampu merangsangkan peluang pekerjaan serta meningkatkan kepakaran tempatan dalam sektor pengangkutan awam.