
PENAMPANG – Kesepaduan antara PH dan BN di Sabah dizahirkan melalui gerak kerja jentera yang digerakkan sepenuhnya demi memastikan kemenangan calon PH di DUN Moyog, Remysta Taylor.
Ketua UMNO Bahagian Penampang merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Hasnol Ayub berkata, komitmen BN Penampang terhadap gabungan PH–BN adalah jelas dan tegas, justeru menerusi gabungan jentera kedua-dua parti kemudian digerakkan serentak seperti yang dicadangkan kepimpinan pusat.
Katanya, Remysta adalah calon muda berwibawa dengan visi besar untuk pembangunan Penampang dan Sabah, selain kemampuan membawa idea baharu yang mampu membawa perubahan besar bagi Moyog.
“Kita sangat jelas kerana jalinan kita adalah BN–PH, jadi tiada ambiguiti.
“Sebelum mereka datang meminta bantuan pun, saya memang ingin membantu kerana saya kenal calonnya Remysta sangat baik, berpotensi besar dan berwibawa,” katanya ketika sidang media pada Majlis Perjumpaan Khas Calon PH DUN Moyog bersama Jentera Parti-Parti Politik, di sini pada Isnin.

Menurutnya, pengalaman beliau mengenali Remysta sejak lebih sedekad lalu meyakinkan beliau bahawa calon berusia 37 tahun itu matang, progresif dan mempunyai visi pembangunan yang jelas.
“Daripada umur 24, 25 lagi dia sudah menunjukkan kematangan. Kita tidak boleh ulang cara lama dan mengharap keputusan berbeza.
“Kita perlukan seseorang yang boleh mengubah sistem dan membawa pembaharuan,” ujarnya.
Ketika ditanya oleh media sama ada kerjasama ini akan diperluas ke kawasan lain, beliau menegaskan keputusan PH-BN adalah sebulat suara dan wajar dilaksanakan di semua peringkat.
Hasnol turut berkata bahawa BN Penampang berada dalam keadaan harmoni dan bersedia menyokong penuh agenda pembangunan yang dibawa Remysta.
“Jentera akan bergerak bersama. Kita gabungkan kekuatan BN dan PH supaya kerja tidak terasing.
“Dengan keharmonian di Penampang, kita boleh membantu menerjemahkan visi saudara Remy yang cukup luas dan spesifik untuk rakyat,” jelasnya.
Tambah beliau, keyakinan penuh bahawa Remysta mampu menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat serta membawa Penampang ke tahap lebih tinggi.






