
CADANGAN Kerajaan Negeri Perlis membina kereta kabel di Bukit Chabang terus mengundang tanda tanya sama ada ia benar-benar berpaksikan pembangunan rakyat atau sekadar projek ‘copy paste’ tanpa kajian yang rapi?
Pada awalnya diumumkan sebagai kereta kabel, cadangan itu tiba-tiba bertukar menjadi projek lif ke puncak dengan sambungan jambatan langit.
Pertukaran drastik ini menimbulkan persoalan besar, adakah Kerajaan Negeri benar-benar mempunyai pelan jelas, atau sekadar mengubah haluan mengikut kemampuan pelabur semata-mata?
Lebih membimbangkan, kawasan Bukit Chabang bukanlah lokasi kosong yang boleh ditebuk sesuka hati. Bukit itu dikatakan terbentuk daripada batu kapur berusia jutaan tahun, sama jenis dengan struktur rapuh di Gua Kelam, Bukit Lagi dan Bukit Kubu.
Semua kawasan ini pernah, sedang dan akan berdepan proses luluh hawa yang berisiko runtuhan batu. Risiko serupa di Bukit Chabang tidak boleh dipandang ringan.
Apabila batu kapur ditebuk untuk pemasangan lif, tiang jambatan atau kabel, kestabilan struktur batuan semula jadi boleh terganggu.
Bayangkan jika berlaku runtuhan, bukan sahaja pelancong, malah penduduk kampung di kaki bukit turut akan menanggung padah.
Di sinilah wujud kelemahan besar pentadbiran. Tiada bukti kukuh bahawa kajian impak alam sekitar (EIA) atau kajian geologi menyeluruh telah dilaksanakan sebelum pengumuman dibuat.
Apa yang kelihatan hanyalah satu lagi ‘projek pelancongan segera’ yang diumumkan dahulu, dikaji kemudian.
Kritikan juga wajar diberikan terhadap sikap Kerajaan Negeri yang tampak tidak konsisten. Hari ini kereta kabel, esok lif dan jambatan. Lusa apa pula?
Model pembangunan yang berpusing-pusing begini hanya menzahirkan kekeliruan dan menunjukkan seolah-olah pentadbiran negeri tiada perancangan strategik jangka panjang.
Dalam keadaan ekonomi negeri yang masih bergantung kepada Kerajaan Pusat, projek jutaan ringgit seperti ini menimbulkan persoalan tentang keutamaan.
Adakah wajar wang atau pelaburan sebesar itu digunakan untuk tarikan yang berisiko tinggi, sedangkan potensi pelancongan berasaskan alam semula jadi, budaya sempadan dan agro belum sepenuhnya dimaksimumkan?
Pembangunan sepatutnya berlandaskan keperluan rakyat, bukannya glamor jangka pendek.
Tanpa kajian saintifik dan tanpa pelan strategik, projek Bukit Chabang ini tidak lebih daripada satu eksperimen berisiko yang boleh meninggalkan parut kekal pada alam sekitar Perlis.
Kredit ilustrasi: Perlis Daily





