PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyegerakan kelulusan bagi pembangunan pasukan dan Akademi Sepak Takraw.
Perdana Menteri berkata, ia susulan kejayaan membanggakan pasukan sepak takraw sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
“Saya setuju dengan saranan Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan) untuk menyokong pasukan dan pembangunan Akademi Sepak Takraw di negara ini.
“Pasukan ini mencatatkan prestasi membanggakan di peringkat rantau dan dunia serta menarik (minat) semua peringkat umur sama ada di bandar atau di desa.
“Hannah minta RM6 juta untuk pembangunan akademi itu, tapi kita akan runding lagi… namun akan menyegerakan kelulusan supaya ia dapat disiapkan sebelum akhir tahun ini,” katanya pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara yang diadakan di Dataran Merdeka, malam tadi.
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan pada Mac lalu mengumumkan Stadium Jalan Raja Muda di Kampung Baru, Kuala Lumpur dinamakan sebagai Pusat Akademi Sepak Takraw Malaysia.
PSM sebelum ini merancang menubuhkan sebuah akademi dengan langkah berkenaan dilihat mampu meningkatkan lagi kredibiliti sukan warisan itu.
Dalam perkembangan lain, Anwar mengumumkan peruntukan RM4 juta bagi pembangunan belia di negara ini.
“Tahun lalu kita umumkan tambahan sebanyak RM3 juta kepada KBS dan kerana semangat ditunjukkan hari ini, pada tahun ini kita naikkan menjadi RM4 juta kepada belia Malaysia.
“Kenapa kita boleh senang berikan (tambahan), kerana Kerajaan MADANI cermat, tatakelolanya dijaga dan tidak izinkan pemimpinnya sakau duit rakyat,” jelasnya.






