PUTRAJAYA – Kerajaan tidak menolak kemungkinan menyemak semula kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap beberapa barangan import terpilih, termasuk buah-buahan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu wajar memandangkan negara tidak mengeluarkan buah tertentu seperti epal dan limau mandarin.
“Saya berpandangan ada kemunasabahan untuk dilihat semula. Kementerian Kewangan sedang melihat perkara ini,” katanya ketika ditemui media selepas majlis sambutan Hari Pendidik Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Bangi, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, pandangan dikemukakan Pengarah Urusan Mydin Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin Mohamed harus dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri dengan mengambil kira beberapa keperluan rakyat terhadap buah-buahan import.
“Hasil cukai buah-buahan kepada negara pun tidak begitu tinggi, jadi kalau dikenakan SST, maka harga buah-buahan itu akan meningkat.
“Saya tahu tujuannya adalah untuk melindungi buah-buahan tempatan, tetapi kita tidak mengeluarkan epal dan limau mandarin,” ujarnya.
Ameer sebelum ini dilaporkan menggesa kerajaan mengecualikan SST terhadap ‘buah-buahan rakyat’.
Katanya, langkah kerajaan mengenakan SST terhadap buah-buahan import adalah suatu perkara tidak masuk akal kerana ia turut digunakan rakyat berpendapatan rendah.





