
KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah tidak akan tunduk kepada sebarang usaha yang berniat menggugat kestabilan politik negeri berkenaan berikutan penyebaran beberapa klip video terbaharu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau memberi jaminan kepada seluruh rakyat Sabah bahawa sumber mineral negeri ini kekal terpelihara dan diuruskan dengan teliti demi masa depan rakyat.
Katanya, Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran beliau tidak pernah mengeluarkan lesen melombong (mining lease) kepada mana-mana pihak dan sebarang dakwaan bahawa lesen melombong telah diberikan adalah tidak benar sama sekali.
“Setakat ini, kerajaan hanya mengeluarkan ‘prospecting license’ yang bertujuan untuk penerokaan dan pengumpulan data geomineral.
“Proses ini adalah langkah awal yang diperlukan sebelum sebarang permohonan ‘mining lease’ daripada syarikat yang layak dapat dipertimbangkan.
“Malangnya isu ini telah dijadikan propaganda politik oleh pihak-pihak tertentu dengan niat jahat mencetuskan kekeliruan dan menggugat kestabilan politik,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Beliau turut menjelaskan bahawa permohonan kumpulan tersebut melibatkan tanah yang sangat luas hampir satu juta ekar dan sebahagian besar kawasan itu adalah kawasan perlindungan sepenuhnya (totally protected areas) kawasan tadahan air dan kawasan pemeliharaan.
“Apabila permohonan mereka tidak berjaya, beberapa klip video telah disebarkan sebagai usaha untuk mengancam Kerajaan Negeri dengan tuduhan bahawa wakil rakyat meminta habuan atau melakukan salah laku berkaitan isu ini adalah tidak berasas.
“Perbuatan mengaitkan rakaman video yang telah disunting dan disebarkan dengan niat jahat, termasuk ancaman berbentuk pemerasan jenayah adalah tindakan terdesak yang bertujuan mencemar nama baik kerajaan dan menjejaskan kestabilan politik Sabah.
“Oleh itu, saya ingin memberi jaminan kepada seluruh rakyat Sabah bahawa pentadbiran saya kekal berpegang kepada prinsip keadilan, ketelusan dan kejujuran.
“Marilah kita bersama-sama memastikan kerajaan ini terus bertanggungjawab, responsif dan fokus kepada keperluan rakyat demi masa depan Sabah yang lebih maju dan sejahtera,” katanya.





