
KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan hampir RM600,000 bagi membantu pekerja gig dalam sektor e-hailing untuk membuka akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Kita menerim sebanyak 11,109 permohonan daripada pekerja e-hailing untuk membuat caruman KWSP.
“Justeru, hampir RM600,000 untuk membantu mereka yang masih belum membuka akaun terbabit,” katanya berucap pada Program Sabah Moto Day 8.0 di Padang Kawad Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, pada Ahad.
Jelas Hajiji, Kerajaan Negeri melihat belia sebagai aset dan pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk pembangunan modal insan golongan itu.
“Sejak 2021 hingga tahun ini, kerajaan Sabah membelanjakan kira-kira RM1.33 bilion termasuk RM848.26 juta bagi bantuan pendidikan dan RM485 juta khusus untuk program pembangunan bakat serta kemahiran belia.
“Perkara ini tidak pernah dilakukan oleh Kerajaan Negeri terdahulu dan kita komited
membangunkan golongan belia yang merupakan pemimpin masa depan negara,” katanya.

Mengenai Sabah Motor Day, Hajiji berkata, acara itu membuktikan perkembangan pesat dengan kehadiran lebih 60,000 peminat permotoran dari seluruh Sabah, Sarawak dan Brunei.
“Kehadiran ramai penunggang motorsikal serta pengunjung membuktikan bahawa aktiviti permotoran masih dekat di hati golongan belia dan masyarakat umum.
“Saya berharap agar peserta Sabah Motor Day agar sentiasa mengutamakan keselamatan di jalan raya,” ujarnya.
Pada program itu, Hajiji turut menyeru para peserta untuk bersama-sama membacakan Al-Fatihah kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir sebagai tanda simpati dan solidariti.





