Kerajaan Sabah laksana banyak inisiatif pembangunan, kesejahteraan rakyat

KENINGAU – Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Plus terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan demi rakyat.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan bukan saja merancang malah terus bekerja menyediakan pelbagai inisiatif untuk rakyat dan menurutnya, dakwaan oleh pembangkang bahawa Kerajaan GRS-PH Plus tidak membawa apa-apa pembangunan di negeri ini, adalah tidak betul.

Hajiji dalam Majlis Pelancaran Naik Taraf Daerah Penuh Sook mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi membina Dewan Terbuka Daerah Sook dan menaik taraf Bangunan Urusetia daerah berkenaan.

Tambahnya, bagi daerah Sook, beberapa projek pembangunan kini giat dijalankan termasuk dua projek pembangunan iaitu projek pembinaan jalan raya berturap Jalan Sinaron, Sook ke Jalan Linayukan, Tongod sepanjang 40 kilometer (km) serta Jalan Rancangan Belia Tiulon, Sook sepanjang 22.58 km yang masing-masing bernilai RM320 juta dan RM127 juta yang sedang dalam pelaksanaan.

“Mengenai aspek pembangunan pendidikan, sebanyak empat buah sekolah juga kini dalam pembinaan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Ambual, SK Rancangan Belia Tiulon, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dalit serta SMK Trusmadi yang hampir siap.

“Selain itu, seramai 120 penduduk menerima manfaat Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) dari tahun 2022 sehingga tahun 2024 yang bernilai hampir RM9.6 juta dan tahun ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM 6.4 juta membina 80 lagi buah rumah SMJ daerah itu,” katanya dalam majlis tersebut, di sini pada Isnin.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pihaknya tidak pernah berdiam diri dalam terus menyalurkan bantuan kepada rakyat khususnya kepada anak-anak dalam kalangan keluarga B40 yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

“Antara bantuan itu ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) dan Bantuan Tunai Khas Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) selain bantuan subsidi tiket penerbangan pelajar Sabah (GRS-SUBFLY) sebanyak RM600 kepada pelajar yang belajar di Semenanjung dan Sarawak serta Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) sebanyak RM300,” katanya.

Menurut Hajiji, inisiatif lain turut diberi kepada rakyat kurang berkemampuan pada tahun ini termasuklah pembinaan sebanyak 3000 unit Rumah Mesra SMJ di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan kos sebanyak RM250 juta.

“Bantuan terbaharu yang diberikan kerajaan negeri mulai tahun ini ialah Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 penerima di Sabah, khususnya Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar layak menerima bantuan tunai RM300 sebulan sehingga akhir tahun,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau turut menyentuh isu bekalan air, elektrik dan jalan raya.

“Sebanyak 13 projek pembangunan bekalan air berimpak tinggi telah dan sedang dilaksanakan, antaranya ialah Skim Bekalan Air Tawau Fasa 3, Pembinaan Loji Rawatan Air Kundasang, Pembinaan Loji Rawatan Air Baru Semporna, Skim Bekalan Air di Lahad Datu Fasa 1 dan Penambahan Kapasiti Loji Rawatan Air Telibong II.

“Selain itu juga projek penambahan kapasiti Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon Fasa Dua di Papar, melibatkan kerja-kerja menaik taraf kapasiti daripada 40 juta liter sehari (JLH) kepada 80 JLH, dijangka akan siap pada 2026.

“Menangani isu elektrik termasuk pelbagai usaha turut dilaksanakan seperti Projek Hidroelektrik Ulu Padas yang bakal menjana tenaga elektrik sebanyak 187.5 megawatt (MW) dan Majlis Tenaga Sabah juga telah meluluskan hampir 1,000 megawatt (MW) tenaga elektrik yang akan dijana melalui beberapa projek penjanaan elektrik bagi meningkatkan keperluan tenaga di negeri ini.

“Projek berkenaan bukan saja untuk mengatasi masalah bekalan elektrik di Sabah, tetapi ia adalah antara usaha penyelesaian jangka panjang yang mampan kepada negeri ini,” kata beliau.

Hajiji berkata, lebih banyak lagi pembangunan akan dibawa ke negeri ini dan baru-baru ini beliau dimaklumkan bahawa sebanyak empat daripada 16 pakej Fasa 1A Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah telah disiapkan, dan baki 12 pakej lagi sedang dalam pembinaan, dengan status kemajuan sebanyak 81.7 peratus siap.

Related Posts

JKR Miri gotong-royong masak, agih bubur lambuk

MIRI – Semangat kebersamaan dan amalan gotong-royong jelas terpancar dalam kalangan warga Jabatan Kerja Raya (JKR) menerusi Program Memasak dan Pengagihan Bubur Lambuk pada Isnin. Program bersempena bulan Ramadan itu…

Lebih lanjut

teruskan membaca
723 asnaf ceria terima sumbangan Aidilfitri

SIBU – Seramai 723 penerima bantuan bulanan beragama Islam ceria apabila menerima sumbangan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. Sumbangan tersebut disalurkan menerusi program Majlis Sejambak Kasih Aidilfitri,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

JKR Miri gotong-royong masak, agih bubur lambuk

JKR Miri gotong-royong masak, agih bubur lambuk

Iran tutup pintu rundingan dengan AS, sifatkan ‘pengalaman pahit’

  • By Siti
  • March 10, 2026
Iran tutup pintu rundingan dengan AS, sifatkan ‘pengalaman pahit’

723 asnaf ceria terima sumbangan Aidilfitri

723 asnaf ceria terima sumbangan Aidilfitri

Waris mangsa kebakaran Ulu Dong bakal terima RRP

Waris mangsa kebakaran Ulu Dong bakal terima RRP

Pelajar Kolej Vokasional maut terkena sabit pekerja ladang sawit

Pelajar Kolej Vokasional maut terkena sabit pekerja ladang sawit

Berita gembira buat rakyat menjelang Aidilfitri

Berita gembira buat rakyat menjelang Aidilfitri