
KOTA KINABALU – Pelarasan harga lantai belian padi gambaran kepada komitmen dan keprihatinan kerajaan terhadap pesawah, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Arthur Joseph Kurup.
Beliau berkata kerajaan menyelaras harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik berkuat kuasa pada Ahad ini.
“Pelarasan ini menggambarkan komitmen dan keprihatinan kerajaan dalam mendengar sekali gus menyelesaikan luahan para pesawah.
“Kita baru dapat penerangan Yang Berhormat Menteri di Dewan Rakyat semalam tentang kenaikan harga lantai belian padi daripada RM1,300 pergi ke RM1,500.
“Ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam mendengar luahan khususnya daripada pesawah-pesawah dan industri padi dan beras termasuk harga beras yang berkaitan yang juga merupakan satu fokus utama bagi kerajaan dalam tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 bersama warga kerja KPKM Sabah, di sini, pada Jumaat.
Athur berkata, kerajaan akan menyalurkan sebanyak RM150 juta bagi menampung kenaikan ini untuk tempoh enam bulan pertama.
“Ini merupakan satu langkah jangka masa pendek dahulu, di mana kita telah, kita prihatin kepada luahan yang telah disampaikan kepada kerajaan dan kerajaan akan mengeluarkan peruntukan tambahan sebanyak RM150 juta untuk menanggung kenaikan ini bagi enam bulan pertama.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan juga akan menilai semula langkah itu selepas tempoh enam bulan sebelum membuat keputusan untuk meneruskannya dalam jangka panjang.




