
BESERI — Kerajaan terus memperkukuh institusi pendidikan Islam di seluruh negara melalui peruntukan berjumlah RM200 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf sekolah agama pada tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan, berkata peruntukan itu merupakan peningkatan berbanding RM150 juta yang disalurkan kepada 1,600 sekolah agama di seluruh negara pada tahun lalu.
“Pada tahun 2026, kerajaan memperuntukkan tambahan RM50 juta menjadikan keseluruhan RM200 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf sekolah-sekolah agama di seluruh negara.
“Kerajaan turut menyalurkan peruntukan RM157,800 pada tahun lalu bagi kerja-kerja penambahbaikan di madrasah ini termasuk pendawaian baharu serta naik taraf beberapa bilik darjah,” katanya ketika melawat Maahad Attarbiyah Al Islamiyah hari ini.
Lawatan kerja itu adalah lawatan pertama beliau ke institusi pendidikan Islam yang berdaftar dengan pihak Jabatan Agama Islam negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk tahun ini.
Menurutnya, lawatan itu bertujuan meninjau pelaksanaan kerja naik taraf di samping mengukuhkan hubungan antara kerajaan dengan pihak sekolah serta agensi agama negeri.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan memperkenalkan tanda pagar #MadaniMembantu sebagai simbol komitmen membantu institusi pendidikan Islam secara berterusan selaras dengan semangat Malaysia MADANI.
Mengulas isu pendaftaran institusi pendidikan Islam, Zulkifli menggalakkan semua sekolah dan institusi berkaitan supaya berdaftar bagi memudahkan pemantauan serta penyaluran bantuan kerajaan.
“Pendaftaran bukan untuk menyusahkan, tetapi bagi memudahkan kita membantu dan memperkukuh lagi institusi-institusi pendidikan Islam di seluruh negara,” jelasnya.






