KOTA KINABALU – Kerajaan Persekutuan kekal komited menyokong inisiatif negeri termasuk pelaburan penting oleh syarikat Esteel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan dengan pengerusi syarikat telah diadakan dan menyarankan syarikat tersebut memfokuskan kepada latihan belia Sabah di universiti dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui kerjasama agensi negeri dan persekutuan.
“Pendekatan yang lebih fleksibel perlu diambil untuk membolehkan mereka menyertai program latihan tersebut.
“Walaupun sijil yang diperoleh mungkin bukan daripada kementerian namun sijil daripada syarikat seperti Esteel pun sudah cukup baik malah lebih bernilai dalam konteks industri.
“Biar syarikat itu sendiri mengendalikan latihan dan memastikan latihan itu memenuhi standard serta keperluan industri,” katanya semasa merasmikan pelancaran fasa pertama projek bernilai RM6.4 bilion di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Jumaat.
Menurutnya, jika syarikat memerlukan 200 pekerja daripada institusi tertentu latihan perlu dimulakan segera bagi mengelakkan ketidakpadanan antara latihan dan keperluan industri.
Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri turut berkata, pihak industri dan universiti diarahkan untuk bekerjasama memastikan latihan yang diberikan relevan dengan kehendak pasaran kerja seperti yang telah dilaksanakan di kawasan Kulim Hi-Tech, Zon Ekonomi Johor-Singapura dan Lembah Klang,
“Pengerusi syarikat perlu menghantar staf ke institusi seperti IPTA untuk membuat cadangan dan kementerian mesti mengambil perkara ini dengan serius tanpa kompromi.
“Jangan beri alasan birokrasi serta fikirkan masa depan pelajar anda.
“Jika perlu menghantar peserta latihan ke Kuala Lumpur atau China mereka harus kembali sebagai jurutera atau juruteknik bertauliah sebagai manifestasi sebenar pertumbuhan inklusif,” katanya.






